airmien

sesuatu tentang kehidupan

Berdosakah Aku Bercinta November 21, 2008

Filed under: Relationship — airmien @ 2:54 am
Tags:

Hati remaja selalu berkata, apakah salah kami bercinta? Rasa cinta memang tidak salah. Ia adalah fitrah semulajadi (instinct) yang ALLAH swt kurniaan kepada setiap manusia. Ingin bercinta dan dicintai adalah instinct. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya.Namun ALLAH tidak kurniakan cinta secara polos begitu saja. Dia juga pencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalin hubungan cinta. Di sinilah selalunya remaja terjebak. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH swt. Ketika itulah FITRAH telah menjadi FITNAH. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta?

Jawabnya kerana ALLAH swt mencintai manusia hambaNYA. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta yang terlarang akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yg membelakangkan Tuhan! Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat.

Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kuat tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi dengan pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala sehingga seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintainya. Lupalah diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakaNya. Bagaimanakah pula perasaan kita agaknya jika seseorang itu begitu leka dengan hadiah yang diberikan hingga terlupa bersalaman dan berterima kasih dengan pemberinya?

Allah swt kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta terlarang. Seolah-olah cinta dan pencipta cinta itu sudah tidak ada kaitan antaranya. Hukum ALLAH dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas ALLAH mengharamkan sentuhan antara lelaki dan perempauan yang bukan muhrim.
Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan itu syaitan
adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak berlaku. Semuanyanya seolah-olah halal kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan – zina, sumbang mahram,bohsia, bohjan, buang bayi dll lagi.

Ketika itu indahkah cinta?

Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya.
Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.

Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta?

Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta ALLAH. Ertinya cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan ALLAH. ALLAH memberikan kita fitrah itu lalu niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kita kepada ALLAH swt. Cintailah sesiapa pun, tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai ALLAH. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk ALLAH!.

Soalnya bagaimana?

Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau seorang perempuan menyempurnakan agamanya.

Sabda Rasulullah saw,
“Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya” .

Semoga perkahwinan yang dibina adalah semata-mata kerana ALLAH, dgn tujuan untuk membina rumahtangga muslim, melahirkan keturunan soleh dan solehah, keluarga yang sanggup memikul amanah & dapat melaksanakan segala hukum dan perintah ALLAH swt. Semoga dengan perkahwinan itu juga akan dapat menjaga pandangannya, kehormatan dirinya serta hati dan juga perasaannya supaya sentiasa tunduk dan takut pada ALLAH swt, di samping dapat beribadat dan bertaqwa kepada ALLAH SWT. Oleh itu, usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana ALLAH. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya – Cinta Monyet!

Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta tidak ada hukum ALLAH yang dilanggar. Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Maka, remaja tidak seharusnya mengeluh, ” Cinta apa namanya ini jika tiada dating, tiada perbualan telefon maraton..atau bahasa remajanya ‘bergayut’, tiada surat cinta, tiada sentuhan tangan, tanpa kerlingan dan senyuman? Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta dan kecewa bercinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa sempat menempuh perkahwinan. Allah swt Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala peraturanNya buat dengan rasa cinta terhadap hambaNYA. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdirNya, cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga-empat pertama yang melahirkan cinta!

Ketika itulah FITRAH akan menjadi ANUGERAH!


Sumber : Majalah Anis

 

Ketelusan

Filed under: Relationship — airmien @ 2:42 am
Tags:

Ketelusan – Asas Pembinaan Pekerti

Oleh PROF DR. SIDEK BABA

KETELUSAN ialah suatu sikap berterus terang, jujur dan ikhlas daripada diri remaja sendiri terhadap seseorang atau sesuatu. Ketelusan membayangkan apa yang dilihat pada diri remaja, begitulah juga bayangan zahir dan batinnya. Niat remaja, tutur katanya dan tingkah lakunya adalah bayangan apa yang ada di dalam hati supaya ia tidak dilihat sebagai bertentangan, bercanggah atau tidak selari. Pada peringkat remaja lagi sikap telus kena ada supaya apabila dewasa nanti remaja tidak akan jadi manusia pura-pura atau hipokrit.

Konsep telus ini sangat penting bagi seseorang manusia kerana ketelusan membawa kepada sifat ikhlas dan jujur. Ia menyuburkan rasa percaya dan keyakinan orang terhadap remaja. Sering berlaku umpamanya, remaja berbohong dengan ibu bapa, berdusta dengan kawan-kawan, yang dicakapkan tidak serupa dengan apa yang dilakukan. Ia berlaku kadang-kadang atas desakan perasaan rendah-diri atau rasa ego yang tinggi.

Telus

Islam melihat sifat telus ini adalah asas kepada pembinaan pekerti atau peribadi yang baik. Ada peribadi manusia yang bersahsiah dua atau berwatak dua. Di hadapan seseorang ia berwatak lain, di belakangnya jadi lain. Di majlis resmi lain, di belakang majlis resmi lain. Di pejabat lain tetapi di rumah lain. Di depan ketua kelihatan baik, di belakang berlaku sebaliknya. Ia berlaku akibat tidak ada sifat ketelusan yang akhirnya perlakuan seseorang bersifat dua atau dua piawai. Tetapi kalau para remaja menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang kita lakukan, malaikat mencatatkan apa yang kita buat, remaja mempunyai pedoman yang tinggi bahawa apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini, adalah dalam pemerhatian Allah. Oleh itu memiliki sifat yang tidak telus boleh mendorong manusia bersifat munafik, hipokrit, suka berbohong, hilang amanah dan cenderung menyalahgunakan sesuatu.

Ketelusan membawa remaja memiliki peribadi yang tinggi, di hormati dan disegani kerana apabila remaja bercakap benar dengan ibu bapa, guru dan kawan-kawan walau kadang-kadang ia pahit, remaja tidak cuba berpura-pura atau berselindung kerana sesuatu perbuatan yang salah dan sedia mengakui yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tidak baik.

Sifat telus ini penting bagi remaja kerana di peringkat remaja, proses pembentukan diri dan watak sedang berlaku. Di peringkat remajalah proses pembinaan identiti diri berjalan. Kalau remaja adalah seorang pelajar, sifat telus boleh membantu remaja menerima ilmu yang baik dan menggunakannya untuk kebaikan. Sekiranya remaja mengakui bahawa ilmu yang diajar adalah sesuatu yang baik, kemudian kebaikan itu tidak dijadikan amalan, remaja sudah menjadi tidak telus pada ilmu. Kalau hal ini terjadi ia bakal membentuk remaja memiliki dua peribadi dan dua watak.

Apabila remaja dewasa nanti, amalan ini akan mengekal dan menjadi sebahagian daripada cara hidup atau gaya hidup. Sebagai pekerja nantinya, amalan tidak telus ini akan berlaku dan ia tidak membantu khidmat kita di tempat kerja. Sebagai ayah atau ibu, nantinya sifat tidak telus menyebabkan imej keibuan atau kebapaan akan jadi cacat. Apabila kita ingin mendidik anak-anak, anak-anak memerhati gelagat dan tingkah laku ibu bapanya. Anak-anak akan akhirnya menyedari ibu bapanya tidak telus. Yang disuruh lain yang dibuatnya lain. Imej seperti ini akan memupuk anak-anaknya membina sifat tidak telus. Akhirnya amalan ketidaktelusan diwarisi. Dan bayangkan sekiranya kita diberi amanah yang tinggi nantinya, sebagai pegawai tinggi, sebagai pensyarah di universiti atau sebagai pemimpin sekiranya sifat telus itu tidak ada, pegawai tidak akan bersifat professional, pensyarah tidak akan menyampaikan ilmu yang benar dan berguna membentuk pemikiran pelajar, dan pemimpin tidak akan berlaku jujur kepada yang dipimpin dan apabila didatangi oleh rakyat ia sering mencari dan memberi dalih.

Berpura-pura

Sifat yang paling dibenci oleh Allah dan Rasul ialah sifat berpura-pura, yang disebut lain dan yang diamalkan lain, lebih-lebih lagi sifat hipokrit atau munafik. Sebab itu sifat utama Rasulullah ialah siddiq atau pun benar. Yang disebut oleh Nabi adalah benar dalam perlakuannya. Yang dinasihat oleh Nabi adalah benar pada amalannya. Yang ditunjukkan oleh Nabi adalah benar pada pekertinya. Contoh seperti Nabi adalah contoh yang terbaik. Daripada contoh yang terbaik menyebabkan timbul rasa yakin dan percaya yang tinggi terhadapnya. Pada hari ini kadang-kadang kita rasa susah untuk mempercayai seseorang, sama ada dari segi cakap mahupun perbuatannya kerana kepura-puraannya terlalu nyata. Semakin payah untuk mencari orang jujur dan ikhlas.

Bagi remaja, sifat ihsan perlu ada. Ihsan bermaksud “Walaupun kita tidak melihat Allah, kita harus merasakan bahawa Allah melihat kita”. Asas ihsan ini penting kerana remaja akan sentiasa merasakan bahawa tidak ada apa dalam niat, perkataan apalagi perbuatan kita yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Sekiranya sifat ihsan ini mendalam dirasakan oleh remaja, insya-Allah remaja akan membina sifat telus pada diri dan pada orang lain. Apalagi sekiranya remaja boleh mengaitkan bahawa bersifat tidak telus boleh membawa kepada dosa. Diri yang berdosa memerlukan keampunan Allah. Bayangkan sekiranya dosa ini terus terhimpun sehingga kita tua akibat ketidak-telusan sudah menjadi amalan dan sebati dengan tabiat kita, bagaimana kita ingin menghadapi Allah nanti.

Kelemahan

Bayangkan juga sekiranya kita tidak telus, kita suka mencari dalih, kita menjadi pura-pura kerana ingin bergaya dan menunjuk-nunjuk, kita sanggup bercakap bohong untuk menutup kelemahan diri, kita sanggup menipu kerana sifat ego yang tinggi dan ia juga berlaku di kalangan remaja atau orang lain, di manakah harapan dalam hidup ini untuk kita bertemu orang ikhlas, orang yang jujur dan orang yang peribadinya dapat dihormati, cakapnya boleh dipercaya dan perbuatannya boleh dicontohi. Sebab itu perlunya sikap telus dan tulus sejak dari kecil lagi hingga ke peringkat remaja, dewasa malah sehingga tua. Sekiranya sifat ini menjadi amalan manusia, amalan jujur, amanah, profesional akan sentiasa menjadi tunggak kehidupan kita.

Ketelusan dalam Islam dikaitkan ikatan kita dengan Allah s.w.t. Akidah, `aqaid atau ikatan yang jelas memantapkan hubungan manusia dengan Pencipta. Para remaja harus dapat merasakan bahawa hubungan menegak dengan Allah merupakan talian ihsan yang terbaik . Ihsan bermaksud dalam melakukan ibadah walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi Allah melihat kita. Sifat ihsan yang tinggi menjadikan remaja telus. Apabila kita ingin melakukan sesuatu kita ingat kepada Allah, tahu akan batasan-batasan yang ditentukan oleh-Nya. Faham akan baik buruk sesuatu. Tahu menilai dosa dan pahala, keadaan ini menjadikan remaja telus. Ketelusan remaja kepada Allah akan mendidik remaja telus kepada orang lain. Sifat ini sangat penting bagi remaja kerana apabila masuk ke alam dewasa nanti, para remaja sudah mempunyai tabiat dan kelaziman yang baik.

Apalagi kalau para remaja bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin, intelektual, saintis, ulama, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain asas ketelusan amat dituntut. Meskipun realiti hidup pada masa ini sangat mencabar, namun tabiat telus perlu ada di kalangan generasi muda Islam. Di antara harga yang terpaksa dibayar akibat wujudnya amalan ketidaktelusan, ialah kita bergantung kepada kepandaian dan kepintaran orang lain. Kita juga sering bersandar kepada kekuatan orang lain. Jalan singkat yang selalu dipilih ialah bersikap mengalah, selalu merasakan diri tidak berupaya dan ikhtiar yang lemah. Akhirnya peluang yang diberikan kepada kita faedahnya lebih dikaut oleh pihak lain.

Cabaran

Lebih-lebih lagi menghadapi cabaran globalisasi yang kuat menghimpit, para remaja perlu ada merit atau kecemerlangan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Harus diinsafi bahawa bangsa dan umat yang maju berasaskan merit di mana ketelusan adalah syarat penting yang perlu dipe

nuhi. Kalau mentaliti remaja sentiasa merasakan bahawa tongkat sakti sentiasa ada untuk tampil menolong, ia menjadikan kita tidak telus menghadapi cabaran yang semakin rumit. Telus di sini bermaksud, kita harus bersedia mengakui bahawa sikap hidup kita mesti berubah, ilmu pengetahuan yang bermanfaat perlu dicari, kemampuan mengimbang antara idealisme dan realiti kena ada, ketangkasan untuk mengatur strategi dan kebijaksanaan untuk melakukan perlu dikuasai, supaya kejayaan kita bukan kerana wujudnya dasar-dasar yang memihak, tetapi kecemerlangan kita ialah disebabkan ketelusan yang tinggi untuk bersaing dan juga menghasilkan yang terbaik.

– PROF DR. SIDEK BABA, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Cinta Palsu Hancurkan Nilai Keinsanan November 20, 2008

Filed under: Relationship — airmien @ 3:04 am
Tags:

Kewujudan manusia adalah keunikan alam anugerah Allah dan komunikasi antara mereka memperlengkapkan kelangsungan sebuah kehidupan, manakala hubungan manusia dan pencipta-Nya pula menempah kejayaan hakiki.

Manusia memiliki fitrah kejadian seni dan agung sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia. Cinta juga menepati satu angka daripada perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang didefinisikan sebagai cetusan rasa daripada orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.

Kesenian cinta didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat adalah lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta sering kali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah suci dan iman yang komited kepada Allah. Cinta sebenar adalah perasaan luar biasa lahir dari satu hati dan jiwa kepada hati dan jiwa yang lain.

Justeru, tidak wujud cinta biasa, yang ada hanyalah cinta luar biasa kerana sesiapa memahami erti cinta, akan tahu hakikatnya yang luar biasa kerana kita akan mencintai orang lain lebih daripada seseorang itu mencintai dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah.”

Dan cinta, apabila luar biasa, tentulah tidak sama dengan cinta yang tidak didasari oleh kecintaan kepada Allah. Cinta luar biasa, semakin kita mencintai, makin kita cinta Allah.

Permasalahan cinta dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini ialah pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu Muslim sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang menguasai jiwa. Cinta berteraskan nafsu dan syahwat adalah cinta palsu yang tidak akan ke mana-mana. Cinta kerana harta, adalah cintakan harta, cinta kerana pangkat adalah cintakan pangkat, cinta kerana keturunan adalah cintakan keturunan, bukannya cinta lahir dari hati yang ikhlas untuk bersama si dia sepanjang hayat.

Cinta harta sering membuat manusia menjadi lupa diri dan tanggungjawab. Harta jugalah sering menewaskan kekuatan pejuang. Justeru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat pada zaman dulu, lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya seperti mereka sebelum kamu lalu kamu binasa seperti mana mereka binasa.”

Memiliki harta tidak dihalang syarak sebaliknya cinta harta itulah yang di pandang keji tetapi harta bermanfaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Berangkatlah sama ada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah At-Taubah, ayat 41)

Cinta pangkat dan kedudukan, jika turut melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan. Kadangkala terfikir juga, untuk apa mengejar pangkat dan kedudukan sedang di akhirat kelak kita akan menjadi manusia hina dina?

Al Fudhail mengingatkan kita: “Kalaulah dunia ini terdiri daripada emas yang akan binasa dan akhirat dari tanah bakar (tembikar) yang kekal, sayugia kita memilih tanah bakar yang kekal berbanding emas yang binasa.”

Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai reda-Nya atau sebaliknya? Jika kita kenal pasti cinta untuk mendapatkan kemanisan iman, maka teruskanlah dengan sebuah perkahwinan, jika sebaliknya, percayalah bahawa cinta itu buta dan akan menggelapkan sebuah kehidupan.

Jodoh hanya datang selepas kita berusaha ke arah itu kerana tidak ada kebenaran untuk mendapatkan mana-mana hak bersama sebagai suami atau isteri tanpa kebenaran sama ada tuan punya badan atau walinya. Jangan menyalahkan jodoh semata-mata kerana ia tidak datang bergolek.

Jodoh boleh diatur kerana ia hanyalah sebuah kejadian yang dirancang dengan izin-Nya, tetapi carilah cinta yang luar biasa.

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

fake_for_real_memory_game_530__

 

Tanda-Tanda Anda Jatuh Cinta November 17, 2008

Filed under: Relationship — airmien @ 2:59 am
Tags:

1. Sukar melelapkan mata

Biasanya anda jarang mengalami masalah untuk tidur. Kali ini, sejak bertemu dan berkenalan dengannya ingatan anda kepada si dia kian menebal hingga mengganggu tidur anda.

2. Perasaan sentiasa berdebar
Perasaan anda sentiasa berdebar-debar jika bertembung dengan si dia. Malah anda jadi kelam kabut dan menggelabah apabila dia menghampiri anda.

3. Suka ambil tahu
Anda semakin berminat untuk ambil tahu tentang latar belakang dan perkembangan si dia. Anda tekun mendengar cerita mengenai si dia dan sering bertanya tentang si dia daripada kawan-kawannya.

4. Resah gelisah
Hati anda merasa resah dan gelisah pabila si dia tidak kelihatan. Anda tercari-cari kalau-kalau terlihat kelibat bayangnya.

5. Dihinggapi cemburu
Anda mula merasa cemburu bila si dia berbual dan melayan kehadiran orang lain sekalipun kawan-kawanya. Ikutkan hati anda, biarlah dia berbual dan melayan anda seorang. Sikap anda itu ketara kelihatan sehingga disedari kawan-kawan anda sendiri.

6. Hobi baru, termenung
Bila tidak melakukan sesuatu, anda segera termenung. Fikiran anda jauh melayang dan pancaindera anda tertutup untuk menyedari hal-hal yang berlaku di sekeliling anda. Di mata anda terbayang-bayang wajah si dia dan anda berada di sampingnya.

7. Dating
Ada sahaja alasan anda ajukan kepadanya untuk berjumpa. Kemudian secara terang, anda tawarkan keluar bersama. Kesempatan yang terluang atau di hari cuti pasti anda habiskan untuk dating. Kadang-kadang anda buat temujanji lagi di waktu malam sekalipun baru petang tadi anda berdua sudah berjalan-jalan.

8. Rindu.
Anda tidak dapat mengawal perasaan. Setiap saat mengingati si dia, bagaikan terdengar suaranya sayup-sayup di telinga. Apapun yang dipandang akan mengingatkan anda kepada si dia. Anda ingin berjumpa dan melihat wajahnya.

9. Bergayut di telefon
Sekalipun bayaran telefon mahal, anda sanggup menghabiskan masa berjam-jam sehingga terjejas masa tidur anda hanya untuk berbual kosong dengan si dia. Anda tidak peduli kalau bil meningkat atau perlu beli kad telefon banyak-banyak. Yang penting dapat dengar suaranya untuk melepaskan rindu. Lagipun baru dapat lena tidur setelah mendengar suara si dia.

10. Berubah citarasa
Kehadiran si dia berjaya mengubah citarasa anda tentang pelbagai perkara. Sejak kebelakangan ini, anda lebih berminat untuk menghayati senikata lagu-lagu berirama sentimental yang bertemakan percintaan. Sebelum ini anda lebih gemar mendengar irama rock, heavy metal dan hip hop.

11. Memberi hadiah
Anda memberi si dia hadiah padahal hari lahirnya masih jauh. Anda peka dengan perkembangan semasanya supaya dapat dijadikan alasan untuk memberikan hadiah. Malah, tiap bulan anda memberikannya hadiah sekalipun harus berbelanja besar. Yang pasti, anda akan memberikan hadiah yang paling istimewa di hari lahirnya nanti.

12. Awal ke tempat kerja
Sejak menaruh minat kepadanya, anda lebih bersemangat rozin

13. Lebih rajin
Prestasi kerja anda semakin meningkat jika dibandingkan sebelum ini. Anda jadi lebih semangat, kreatif dan berfikiran positif. Perkembangan anda yang membanggakan itu disenangi kawan-kawan dan majikan.

14. Menjaga penampilan
Penampilan anda tidak lagi ringkas dan sederhana. Meskipun anda lelaki, anda akan mengunjungi salon kecantikan untuk potongan rambut yang bergaya dan rawatan muka. Pakaian anda berubah corak menjadi lebih menjurus kepada fesyen terkini. Wajah berhias dengan mekap hingga nampak mempesona. Dari hujung rambut ke hujung kaki anda cantik menawan dan segak bergaya.

15. Defensif
Maknanya anda melakukan pembelaan. Pantang orang lain salah cakap atau sekadar mengusik, anda akan mempertahankan si dia meskipun sampai anda marah dan timbul permusuhan. Ada masanya percakapan mereka itu ada kebenarannya, tetapi anda tetap bersikap defensif.

16. Merajuk
Sedikit salah, sedikit silap anda lekas merajuk. Anda sanggup tidak makan tengahari atau tidak menegur sapa selagi si dia tidak menegur dan meminta maaf. Anda juga terus merajuk sehingga dia berkali-kali memujuk.

17. Mudah bersalah sangka
Anda mudah merasa hampa lalu kecewa jika kemahuan atau permintaan anda tidak dipenuhi. Misalnya si dia tidak hadir temujanji, anda sangka dia mungkir janji. Anda anggap dia tidak memberi perhatian dan tidak mempunyai perasaan.

18. Sentiasa kata ‘Ya’
Apa pun katanya, pendapatnya dan permintaannya, anda jawab dengan ‘Ya’. Anda sentiasa akur dan menurut sekalipun ada di antara permintaannya yang keterlaluan dan pendapatnya kurang anda senangi.

19. Sanggup berkorban
Untuk si dia sanggup bersusah payah melakukan semuanya. Dengan rela hati anda jadi pemandu peribadinya, jadi orang suruhan, meluangkan diri anda untuknya di hari cuti dan memenuhi setiap permintaannya.

20. Jadi orang lain
Tiba-tiba anda jadi pelakon yang terbaik kerana mahu memenuhi cirri-ciri peribadi yang menjadi idaman si dia. Di depannya anda seorang romantik dan berlemah lembut sekaipun kenyataannya anda seorang yang kasar dan mudah marah. Demi si dia, anda sanggup berubah menjadi orang lain.

21. Prihatin
Anda bukan hanya ambil tahu malah sentiasa menghulurkan tangan membantu. Anda akan pastikan si dia tidak mengalami sebarang masalah dalam kehidupan sehariannya dan menjamin kebajikan dan keselamatannya.

22. Berkhayal
Potret wajah si dia jadi teman setia di waktu keseorangan. Ada masanya anda habiskan masa hanya merenung wajahnya di potret sambil berangan-angan jauh. Berkhayal seperti itu anda rasa bahagia.

23. Inginkan persamaan
Sejak mengenali si dia anda berusaha mengikuti kegemaran dan citarasa untuk mempamerkan anda meminatnya. Anda akan mengemari filem dan lagu Hindustan, masakan barat dan meniru setiap tingkah lakunya. Anda mahukan wujud persamaan dengan si dia.

24. Sumber ilham
Kata-katanya menjadi pendorong semangat. Anda sedari bahawa anda mempunyai kemampuan untuk melangkah jauh dan mengejar cita-cita anda. Rupanya anda ada kelebihan tersendiri yang baru anda sedari. Si dialah yang membuka minda anda. Dialah sumber ilham anda.

25. Pasang impian
Anda sering termenung membayangkan impian masa depan anda bersama dia. Selalu berdua ke mana sahaja, lalu mendirikan rumahtangga, mempunyai sejumlah anak yang comel dan tinggal dalam sebuah rumah idaman bersama. Anda dan dia sama-sama susah dan senang dalam menjayakan cita-cita sekeluarga.

26. Suka memuji
Dari pendiam anda jadi seorang yang ramah mesra dan suka memuji. Anda peka dengan penampilan si dia dan lekas memberikan pujian dan sanjungan. Hati anda rasa berbunga-bunga dapat memuji dan apalagi kalau dia merasa bangga dan senang hati oleh puji-pujian anda.

27. Mulut manis
Anda hanya berkata hal-hal yang baik sahaja ketika bersamanya. Anda akan bersetuju dan mendokong percakapannya sekalipun tidak anda sukai. Tujuannya kerana anda tidak mahu menyinggung perasaannya. Tambahan pula anda tidak mahu menjejaskan perhubungan yang baru berputik.

28. Tanda ingatan
Anda memberikan sesuatu yang istimewa sebagai tanda ingatan. Jika buku diberikan, anda akan tulis sedikit kata-kata di dalamnya sebagai renungan atau kenangan. Di hari raya anda hulurkan kad raya atau kad ucap selamat di hari lahirnya. Sekalipun tidak berterus-terang, dari kata-kata yang tercoret di dalam buku dan kad dapat mencerminkan luahan isi hati anda terhadapnya.

29. Inginkan perhatian
Anda selalu mengharapkan si dia memberikan perhatian dan mahu meluangkan masa bersama anda. Walaupun anda tidak mahu menyusahkan si dia, namun sedikit perhatian yang diberikannya sudah cukup menggembirakan hati.

30. Bertekad memilikinya
Secara drastik, anda berhasrat untuk memilikinya. Apapun keadaan dirinya, anda pasrah dan menerima. Anda ingin selalu di sampingnya, menjadi teman hidupnya sehidup semati.

 

Madah-madah Cinta

Filed under: Relationship — airmien @ 2:47 am
Tags:

Cinta adalah sesuatu yang indah dan unik anugerah dari Ilahi.  Kita diberi peluang untuk menilainya dan pergunakanlah peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya untuk melahirkan satu larian cinta yang indah. Seindah waktu ia diciptakan.

Cinta itu aneh. Sukar untuk ditafsirkan. Datangnya bukan dari paksaan, perginya pula tanpa kerelaan. Cinta itu penuh mesra dengan kasih sayang. Ianya perlu dibelai dengan kelembutan bagi menyerikan lagi keindahannya. Kekasaran boleh mencipta sebuah perpisahan.

Manusia kadang kala lupa, cinta adalah syarat berlangsungnya kehidupan perkahwinan. Malah, tanpa cinta, perkahwinan itu akan mati, ibarat rumah kosong tanpa penghuni.

Mungkin benar tatkala kita kehilangan barulah kita menyedari. Mungkin benar saat kita terluka barulah kita mengerti. Mungkin benar bila kita rasakan rindu yang sangat dalam barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang bagi kita.

Cinta…Jika anda memilikinya, anda tidak memerlukan sesuatu pun yang lain. Dan jika anda tidak memilikinya,apa pun yang lain yang anda miliki tidak banyak bererti.

Jika kita kehilangan cinta, pasti ada alasan di sebaliknya. Alasan yang kadang-kadang sukar untuk dimengertikan. Namun percayalah bahawa ketika Dia mengambil sesuatu, telah Dia mempersiapkan sesuatu yang lebih baik untuk diberikan.

Cinta antara dua jiwa telah dikatakan boleh membakarkan semangat seseorang itu untuk memeliharakan akhlak yang mulia, memperbaiki pergaulan antara manusia dan menjaga adab dan keperibadiaan. Selain daripada itu, ia juga dipercayai dapat menghilangkan kekhuatiran dan ketakutan dalam hati, menjernihkan akal dan menyucikan jiwa kita. Tetapi, cinta juga merupakan ujian, godaan dan cubaan kepada manusia kerana ia merupakan pertarungan dan pertimbangan di antara akal dan rasa.

Andai kata cinta itu sebuah pengorbanan,mengapa pengorbanan itu bukan noktah sebuah cinta? Andai kata derita itu harga sebuah cinta,mengapa cinta itu semakin sukar utk dimiliki? Cinta umpama kota kristal, indah di penglihatan , derita di perasaan….

Cinta tidak berupa tatapan satu sama lain, tetapi memandang ke luar bersama ke arah yang sama.

 

Renungan November 3, 2008

Filed under: Relationship — airmien @ 4:51 pm
Tags:

Renunglah sejenak jika selepas ini ada lagi yang bertanya soalan Bila nak kahwin? Mungkin jawapan di bawah ini boleh diberi. Seterusnya mungkin mereka akan berhenti bertanya soalan tersebut..

Renungkanlah sedalam-dalamnya. …

Tidak, jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang. Allah mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman dan tidak bertanggungjawab kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh2 bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar2 membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di  samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubunga kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?


Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya Mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah  anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat,akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya.Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insane kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. “

 

 
%d bloggers like this: