airmien

sesuatu tentang kehidupan

PANTUN KASIH (IV) November 13, 2009

Filed under: Relationship — airmien @ 10:31 pm
Tags:

 

114. Buah mempelam ditimbang sukat,

Pohon rendang buahnya lebat,

Ucap salam jauh dan dekat,

Tumpang bermain wahai sahabat.

 

115. Nira disukat dibuat cuka,

Cuka bernama Seri Rama,

Sudah berpakat bersuka-suka,

Kita bermain bersama-sama.

 

116. Benih padi merata-rata,

Petak semai anak Cik Musa,

Minta maaf terlanggar kata,

Maklum baru tidak biasa.

 

117. Merah kuning si rama-rama,

Terbang mari berkawan-kawan,

Sudah bersahabat kenalan lama,

Biasa bermain sama halaman.

 

118. Sayang Cik Ali anak Cik Zainal,

Pandai menyanyi Dondang Sayang,

Lama sudah kita berkenal,

Belum mencuba berkasih sayang.

 

119. Anak lembu di Tanjung Jati,

Cari makan di tengah harungan,

Sehari bertemu sehari kumati,

Seribu syukur atas junjungan,

 

120. Sayang Cik Intan tanam selasih,

Selasih datang dari seberang,

Kenapa tuan tak mahu berkasih,

Adakah orang akan melarang.

 

121. Tarik perahu di air surut,

Orang belayar ke tanah seberang,

Bukan saya tak mahu menurut,

Takut cik puan maklumnya orang.

 

122. Buat gereja di atas bukit,

Pasang rabung kayu meranti,

Aduhai tuan cintaku sakit,

Tidak tertanggung rasa di hati.

 

123. Patah dahan kayu meranti,

Panjat mari si anak kera,

Kalau tak tahan rasa di hati,

Mari berjumpa dengan segera.

 

124. Orang Melayu bersampan payang,

Sarat bermuat ikan gelama,

Bukan tak mahu berkasih sayang,

Takut nanti kekal tak lama.

 

125. Layang-layang putus teraju,

Tersangkut mari di pokok delima,

Kalau dapat kasih setuju,

Tentu boleh kekalnya lama.

 

126. Suka menumpang di kayu buruk,

Ada seekor anaknya beruk,

Zahir ketara batin tersorok,

Kasih sayang di mana nak taruk.

 

127. Anak beruang si anak beruk,

Bawa mari ke Tanjung Jati,

Kasih sayang kalau ditaruk,

Dari hidup sampai ke mati.

 

128. Sudah rapuh dahan keranji,

Turun ke paya ambil meranti,

Kalau sungguh kata dan janji,

Tidaklah saya mencari ganti.

 

129. Ikan pelata si ikan parang,

Ikan gelama putih sisiknya,

Tak pandai saya kata sebarang,

Belah dada tengok isinya.

 

130. Batang buluh diikat-ikat,

Susun rapat dalam perahu,

Sudah sungguh kata sepakat,

Janji diikat kata dipadu.

 

131. Tumbuh menerung merata-rata,

Mari dibuat tali belanja,

Tak tahu apa yang hendak dikata,

Kusangka matahari waktu senja.

 

132. Burung balam bersangkar rotan,

Mari disangkut di hujung para,

Kukirim salam angin selatan,

Bayu berpuput dari utara.

 

133. Ada seekor burung balam,

Mari hinggap di pokok pulasan,

Resah gelisah siang malam,

Harapkan datang tidak berpesan.

 

134. Asam paya buah di hutan,

Banyak buahnya lebat di pangkal,

Betul kata dalam suratan,

Rindu tak boleh ditangkal-tangkal.

 

135. Jatuh bertabur buah mengkudu,

Malam-malam ditampar kelawar,

Bila dah kena penyakit rindu,

Pujuk rayu tak jadi penawar.

 

136. Kelapa hijau dimasak minyak,

Buat mengubat Bentara Dalam,

Makan tak kenyang tidur tak nyenyak,

Rindu meracau siang malam.

 

137. Ambil besar dibelah berembang,

Buah nangka di dalam raga,

Apa dirisau apa dibimbang,

Sampai masa bertemu juga.

 

138. Belayar sampan orang muda,

Pulau Undan tempat menuba,

Ribut taufan kalau melanda,

Manalah tahan pancaroba?

 

139. Pulau Lalang pasirnya putih,

Berbalam-balam Pulau Nangka,

Sudah adat orang berkasih,

Macam-macam buruk sangka.

 

140. Pokok sentul buah keranji,

Dibawa budak waktu pagi,

Adakah betul seperti berjanji,

Hati tidak berbelah bagi?

 

141. Kerana mengidam buah pedada,

Dicari sampai ke Tanjung Jati,

Kalau boleh kubelah dada,

Akan kutunjuk rupanya hati.

 

142. Dilipat-lipat tali belati,

Buat mengikat batang berduri,

Kalau tak dapat setuju di hati,

Di laut dalam terjunnya diri.

 

143. Dayang-dayang turun bermain,

Petik gambus sama kecapi,

Tidak terniat cari yang lain,

Sanggup kuredah lautan api.

 

144. Berpilih-pilih rotan diraut,

Mencucuk atap hujung halaman,

Bila kasih kiambang bertaut,

Barulah tetap niat iman.

 

2015351459_2da9ef2607

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s