airmien

sesuatu tentang kehidupan

Luahan Seorang Suami Februari 23, 2011

Filed under: Relationship — airmien @ 10:10 am
Tags:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Wahai isteriku

Jika kau harapkan kepadaku untuk menghargai dirimu

Aku tidak mampu memberikannya selalu

Kerana kekadang aku juga lemah tidak terdaya

 

 

Wahai isteriku

Haraplah pada Allah SWT

Kerana Allah SWT yang memegang jiwaku

Agar aku menghargai dirimu

 

 

Wahai isteriku

Jangan sesekali kau menangis keranaku

Tetapi menangislah kerana Allah SWT

Yang kekadang kau lupa akan diri-Nya

Kerana terlalu mengharapkan penghargaan daripadaku

 

 

Wahai isteriku

Aku takut meletakkan harapanku kepadamu

Kerana aku lebih mengharapkan Allah SWT

Untuk membimbingmu menjadi isteri yang terbaik untukku

 

 

Wahai isteriku

Aku takut menghargai dirimu

Melainkan penghargaan atas kehendak Allah SWT

Kerana aku hanya menurut kehendak Allah SWT

 

 

Wahai isteriku

Dikala kau bersedih keranaku

Ketahuilah bahawa kau sedang jauh dari Allah

Kerana kau mengharapkan diriku lebih daripada-Nya

 

 

Wahai isteriku

Aku tidak mampu membahagiakan dirimu

Kerana aku hanya mampu lakukan yang terbaik untukmu

Tetapi Allah SWT yang memberikan kebahagiaan itu untukmu

 

 

Wahai isteriku

Simpanlah air matamu hanya untuk Allah

Bukan untuk diriku

Kerana aku bimbang kau lebih mengharapkan aku daripada Allah

 

 

Wahai isteriku

Sesungguhnya aku menyayangi dirimu

Hanyalah kerana Allah SWT

Yang melantik diriku menjadi wakil untuk menyayangimu

 

 

Wahai isteriku

Sesungguhnya aku menjadi penemanmu

Semata-mata kerana Allah SWT

Yang mewakilkan diriku untukmu yang dikasihi-Nya

 

 

Wahai isteriku

Sesungguhnya aku juga insan yang lemah

Yang sekadar memiliki kudrat

Hanya atas apa yang Allah izinkan untukku

 

 

Wahai isteriku

Tuntutlah penghargaan daripada Allah SWT

Pasti nanti Allah SWT menggerakkan diriku

Untuk menghargai dirimu

 

 

Wahai isteriku

Semoga kita sentiasa diberi mawadah, rahmah dan sakinah

oleh Allah SWT

Dengan semata-mata mengharapkan diriNya

 

 

Wahai isteriku,

Aku redha dan rela dirimu mencintai Allah

Lebih daripada mencintai diriku

Kerana aku yakin, apabila dirimu mencintai Allah lebih daripada mencintaiku,

Kau bukan sekadar mencintai diriku,

Malah pastinya kau redha dan sanggup berkorban apa sahaja

Sepenuh hatimu untukku dan bersama denganku.

Dan semuanya yang kau relakan itu hanya kerana cintamu pada Allah SWT.

 

 

Wahai isteriku

Aku mencintaimu kerana Allah SWT dan aku mengharapkan kau juga begitu.

Ya Allah, ajari kami ya Allah untuk menyayangi antara kami ya Allah.

Ajari kami untuk menghargai diri kami ya Allah. Jagai jiwa kami ya Allah.

Sesungguhnya perkahwinan kami ini atas kehendak-Mu ya Allah.

Kami serahkan seluruh kehidupan kami kepada-Mu ya Allah.

Terima kasih ya Allah..terima kasih.

 

 

Advertisements
 

10 Sikap Wanita Yang Disenangi Lelaki Februari 21, 2011

Filed under: Relationship — airmien @ 1:30 am
Tags:

Sikap Keibuan

Banyak lelaki yangg terpikat pada wanita yang bersikap keibuan, lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang. Wajah yang keibuan mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika sedang stress, cemas dan gelisah dan senang hati ketika mahu bermanja. Jangan tunggu sampai melahirkan baru nak tonjolkan sikap keibuan. Setiap wanita ada potensi keibuan dalam diri masing-masing.

Keanak-anakkan

Dalam batas yang wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka berasa terhibur dengan keletah anda. Tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakkan yg melampau dan menyakitkan hati tetapi sikap keanak-anakan yang menyenangkan. Misalnya, kemanjaan wanita yg membangkitkan naluri kebapaan dan kelakian lelaki.

Penuh Pengertian
Sikap pengertian wanita membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya. Sikap ini tercermin dari perasaan mudah memaafkan, memilih waktu yang tepat untuk berbincang masalah dan sebagainya. Contohnya ketika lelaki melakukan kesilapan, wanita yang berpengertian tidak terus mengeluarkan kata-kata yang kasar atau menuduh bukan-bukan sebaliknya cuba mengerti duduk persoalannya.

Menghargai

Wanita yang menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki. Berbeza dengan wanita yang suka diperlakukan dengan lembut, lelaki suka dihargai, dipuji dengan tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Penghargaan dari wanita membuat lelaki berasa bangga.

Menjaga Penampilan
Lelaki menyukai wanita yg pandai menjaga penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik. Penampilan yang baik menunjukkan wanita tersebut menghargai dirinya. Dia akan murah senyuman, pandai merawat tubuhnya, meningkatkan kualiti hidupnya dan memberi yg terbaik kepada dirinya. Dia suka dan bersyukur dengan dirinya dan secara tidak langsung memancarkan pesona yg menyebabkan lelaki juga menyukainya. Apabila sudah berumahtangga, wanita tersebut terus menjaga penampilan dirinya dan kesihatan tubuh badan walau sudah beranak-pinak. Siapa yg tidak suka isteri yg masih kelihatan cantik dan ramping walau dah punya anak 3?

Pandai berbicara
Lelaki tertarik dengan wanita yg pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Walau topik perbualan yang disukai lelaki berbeza dengan topik kegemaran wanita,wanita tersebut dapat mengimbanginya. Dia bukan sekadar teman berbual yang pasif, tetapi dapat memberi respon dan pendapat yang baik. Dia juga tahu menjadi pendengar yang baik, serta mengalihkan topik yg agak serius kepada perbualan yang lebih menarik. Lelaki juga suka dengan wanita yg suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh menerima jenaka lelaki dengan baik dan berfikiran terbuka.

Pandai Bergaul dan Menyesuaikan Diri
Wanita yg pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih di mata lelaki. Wanita tersebut tahu menghadapi orang yang lebih tua dan cara berhadapan dgn orang yg lebih muda. Apabila berhadapan dgn suasana yang baru, wanita tersebut tidak gentar malah cepat menyesuaikan diri. Dia mudah di ajak ke mana saja dan tidak kekok samada di bandar atau di kampung.

Menghormati Diri Sendiri
Lelaki suka dgn wanita yg menghormati dirinya sendiri sebagai seorang wanita, bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita yg menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan dan tahu apa yg baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya. Jadi dia tahu apa yg dia inginkan dan mahu elakkan serta menjaga maruah dirinya. Dia tidak akan merendah-rendahkan dirinya dan tidak akan membiarkan lelaki memperlakukan dirinya sesuka hati.

Simpati dan Prihatin
Lelaki suka wanita yg murah hati, mengambil berat, simpati pada nasib yang susah, sayangkan kanak-kanak dan tidak memilih bulu. Kebaikan yg wajar dan spontan mencerminkan hati yang mulia. Ada kecantikan dalaman pada dirinya yang memancar keluar dengan indah dan mempesona.

 

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki? Februari 16, 2011

Filed under: Relationship — airmien @ 11:11 pm
Tags:

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

 

 


Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

 

 

 

Bukankah lebih hebat jalan di hujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

 

 

 

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

 

 

 

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

 

 

 

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

 

 

 

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

 

 

 

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

 

 

 

Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmati-Nya.

 

 

 

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

 

 

 

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

 

 

 

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

 

 

 

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

 

 

 

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

 

 

 

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

 

 

 

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

 

 

 

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

 

 

 

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

 

 

 

Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

 

 

 

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

 

 

 

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

 

 

 

Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

 

 

 

Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

 

 

 

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

 

 

 

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

 

 

 

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. Insya Allah.

 

– Artikel iluvislam.com

 

Coretan Buat Bakal Isteriku Februari 13, 2011

Filed under: Relationship — airmien @ 3:23 am
Tags:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

 


Untukmu, Bakal isteriku..

 

 

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan “Kau tercipta untukku.”

 

 

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.

 

 

Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yg hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kpdnya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

 

 

Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar sheikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah di sisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

 

 

“Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”


 

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu.

 

 

“Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.” (Surah An-Nuur: 26)


 

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku di samping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.


 

Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma
akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

 


“Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”

 

 

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

 

 

Dariku, Bakal Suamimu.

 

Nukilan: Musafir Hidayah


 

Lelaki Sejati Februari 3, 2011

Filed under: Relationship — airmien @ 4:18 am
Tags:

Aku bertanya pada Ibuku,

“Bagaimanakah lelaki sejati itu ?”
Ibuku menjawab,

“Nak…

 

 

Laki-laki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar,

tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya….

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang,

tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran…..

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya,

tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa…

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja,

tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah…

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan,

tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang,

tetapi dari hati yang ada dibalik itu…

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja,

tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya…

 

 

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan,

tetapi dari tabahnya dia menghadapi lika-liku kehidupan…

 

 

Laki-laki Sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci,

tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca..”

 

 
%d bloggers like this: