airmien

sesuatu tentang kehidupan

Pembubaran Perkahwinan. November 23, 2019

Filed under: Relationship — airmien @ 10:25 pm

Tuan-Puan,

Pembubaran perkahwinan ni kita ada beberapa kategori:

1. Lafaz talaq dari suami
2. Pengesahan lafaz cerai/Talaq
3. Pengesahan cerai secara Taqlik
4. Fasakh
5. Tebus talaq atau khulu’
6. Anggapan kematian
7. Li’an

Sekiranya berlaku situasi seperti dibawah, sebagai suami yang baik dan cerdik anda dilarang sama sekali bertanyakan tentang keesahan/menjatuh hukumkan sesuatu hukum/lafaz tersebut di SocMed kerana:

1. Pengesahan lafaz ini perlu dibuat dihadapan Yang Arif Hakim Syarie sahaja selaku orang yang punya authoriti(kuasa) bagi mensabitkan lafaz tersebut sah atau tidak dari sudut hukum syarak,

2. Kita sendiri tak tahu niat si suami sewaktu lafaz tersebut dibuat,

3. Kita sendiri tak tahu keadaan si suami melafaz talaq tersebut kepada isterinya, (dalam situasi ni si suami katanya lafaz dalam keadaan marah. Betul ke?)

4. Kita sendiri tak pasti adakah betul lafaz itu dituju kepada isterinya sendiri atau sekadar saja-saja?,

Jadinya tuan-puan, bila berlaku situasi seperti ini, kita akan melihat kepada Enakmen dibawah Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pahang 2005 yang menjelaskan bahawa:

(1) Walau apa pun seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq diluar Mahkamah DAN TANPA kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa TUJUH HARI dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada mahkamah.

(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan itu adalah SAH mengikut hukum syarak

(3) Jika mahkamah berpuas hati bahawa talaq yang telah dafazkan itu adalah sah mengikut hukum syarak, maka Mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 125;

a) membuat perintah membenarkan perceraian dengan talaq;

b) merekodkan perceraian itu;dan

c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada ketua pendaftar bagi pendaftaran.

Dalam satu hadis sahih riwayat At-tarmizi, Abu daud dan Ibnu Majah ada menyatakan:

الحديث صحيح رواه الترمذي وأبو داود وابن ماجه من حديث أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والرجعة.

“Tiga perkara yang serius dan guraunya sama-sama dianggap serius:

(1) nikah,
(2) talak, dan
(3) rujuk”.

Apa tu Talaq Raj’ie dan Bain?

1) TALAK RAJ’IE: talak satu atau dua yang dilafazkan oleh suami. Suami boleh rujuk isterinya dalam tempoh iddah tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru.

(Amalan di negara Malaysia, kita perlu melakukan proses rujuk ini di hadapan Pendaftar Nikah,Cerai Rujuk orang Islam atau orang kampung sebut Tuan Qadhi)

2) TALAK BAIN: iaitu talak yang tidak boleh dirujuk oleh suami, namun isteri itu boleh dinikahi kembali dengan akad dan mas kahwin yang baru. Talak bain terbahagi kepada dua, iaitu talak bain sughra dan talak bain kubra:

i- Talaq bain sughra(kecil), iaitu apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj’ie samaada satu atau dua kemudian tidak rujuk hingga tamat tempoh iddah. Begitu juga penceraian yang berlaku sebelum persetubuhan, penceraian dengan sebab ila'(bersumpah tidak mahu mengetubuhi isteri), fasakh dan khulu'(tebus talaq) dan suami atau isteri yang murtad.

ii- Talaq bain kubra(besar), iaitu talak 3 yang dilafazkan dengan satu lafaz atau talak raj’ie yang telah berlaku sebanyak 3 kali. Apabila terjatuhnya talak tiga, maka suami tidak boleh kembali mengahwini isterinya melainkan setelah memenuhi syarat-syarat berikut:

a. Setelah iddah isteri selesai.

b. Bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain.

c. Suami yang baru menyetubuhi bekas isteri itu.

d. Suami yang baru menceraikan bekas isteri.

e. Selesai iddah setelah bercerai dari suami baru

Bab lafaz talaq ni janganlah dibuat main,

Kesan dia tersangatlah besar bila kita abaikan dan buat bodoh isu begini,

Starlight dahi jendul tu nak?

Muhammad Syarafi
Peguam Hipster Patuh Syariah.

#CelikSyariah
#SyarieCounsel
#MelakaNPahang
#MuhammadSyarafiNPartners

Nota : Sahabat admin, saudara Syarafi.

 

 
%d bloggers like this: