airmien

sesuatu tentang kehidupan

Nasihat Untuk Suami Januari 1, 2009

Filed under: Relationship — airmien @ 1:41 am
Tags:

  1. Bila Mata Kita Terliar Sedikit
  2. Isteri Selalu Nak Ikut
  3. Isteri Modify Living Room
  4. Lupa Janji
  5. Sila Guna Bahasa Saya

BILA MATA KITA TERLIAR SEDIKIT

Pada petang yang aman damai, maka kita pelawalah isteri dan anak-anak kita bersiar-siar di taman-taman rekreasi untuk memecah “monotonous” demi kebahagiaan rumahtangga kita. Pusing punya pusing mencari tempat letak kereta maka jumpa juga akhirnya di sudut yang agak ramai pengunjung ditaman itu. Kita pun mencari kawasan lapang untuk diletakkan tikar dan bekalan makanan sekadar memeriahkan lagi suasana berekreasi itu. Anak-anak kitayang aktif tu kita biarkan mereka melompat-lompat dan berlari melakonkan semula bintang pujaan TV mereka “gagahnya power rangers” dan “ajaibnya doraemon”, yang mana kita sendiri gagal membendongnya. Pada ketika inilah isteri kita akan bertambah manja berdamping rapat duduk di atas tikar itu. Dengan air mukanya yang berseri senyum memanjang melihat keindahan alam sekeliling.

Ramailah pengunjung lalu lalang di hadapan dan di belakang kita termasuklah juga anak-anak gadis bersendirian, dengan keluarga dan berkumpulan bersama-sama menikmati keindahan alam rekreasi ciptaan Illahi itu. Sebagai insan yang sentiasa terdedah oleh bisikan syaitan, kadang kala mata kita “terjeling” juga mengekori bayangan mereka yang baru lalu di depan terutama sekaliyang telah menghiasi diri mereka untuk ditontoni. Pandang pertama dikira tidak mengapa kerana ia adalah gerakan spontan dari refleksi saraf kita (tetapi hanya beberapa saat sajalah). Tetapi jika kita ulangi dengan pandangan kedua dan ketiga dengan pandangan yang seolah-olah ingin “ta’aruf” dengannya maka yakinlah, pada ketika ini isteri kita telah dan sedang memerhatikan arah tuju panahan mata kita itu. Isteri kita tidak menegur dan terus mendiamkan dirinya sambil memendam rasa dan bertambah remuk lagi jika dilihatnya kita bertambah ghairah hingga sanggup memalingkan kepala 90 darjah ke arah “objek”tersebut. Kita tidak perasan dan memang kita orang lelaki ni tiada perasan dan kurang perasaan. Bersukarialah kita bergelak ketawa dengan anak-anak tetapi isteri kita telah mula pudar senyuman dan jika diagah sekali punakan kelihatan agahannya itu dibalas ala kadar sahaja.

Maghrib telah hampir tiba, maka kita pun berkemas semula untuk kembali ke rumah. Jelas kelihatan anak-anak kita puas dan malah ada yang tidak mahu balik kerana masih belum puas “berpower rangers” di situ. Tetapi tidakpada isteri kita. Kita pun naik hairan!. Bagi isteri yang “cool” sedikitakan bersindir dulu dengan kata, “Tadi tengok anak dara baju merah tu macam nak makan aje!” Bagi isteri yang lebih berani akan berkata, “Apalah you ni, depan I you tengok perempuan lain pulak.. malulah I”.

Bagi suami yang cepat-cepat sedar kesilapannya akan terus membalas dengan gurauan seperti, “Wow! you nampak ke?, Ala hai, depa dah lalu, tengok sikitaje, bukan apa-apa, sorry lah ye!. Itu lintasan syaitan mata I aje”. Kesyang ini biasanya menyejukkan kembali gelora kepanasan darah geram di lubuk sanubari iateri kita tu.

Bagi suami yang ada ego tu akan mempertahankan benang basahnya dengan,” Esy! tak de lah, I tak tengok pun”. Kes begini akan memanaskan lagi suasana dengan perdebatan yang bertambah panas seperti, ” Apa, you ingat mata Ini buta ke?”. Pada ketika ini, anak-anak dibelakang tu dah “confuse”dengan tingkahlaku emaknya. Mereka mungkin menyebelahi ayah mereka. Sampailah ke rumah perdebatan yang tiada berkesudahan yang berjalan tanpa pengadil-pengadil yang arif lagi bijaksana menetapkan keputusannya.

Mengapa boleh terjadi demikian?

Seorang isteri akan terasa hilang maruah, rendah harga diri sebagai seorang isteri jika suaminya, dengan kehadiran isteri, melihat perempuan lain dengan pandangan yang “memiangkan” suasana. Mereka tidak akan menegur kita semasa kejadian itu sedang berlaku kerana ingin menjaga maruah suami yang dicintainya itu dikhalayak ramai. Tetapi jika tegurannya itu semasa di dalam kereta (mana-mana isteri yang tidak sabar tu) atau bila dah sampai di rumah (mana-mana isteri yang “cool”) dinafikan oleh suami, maka bertambah remuklah hatinya dan akan hilanglah kepercayaan setia kawannya kepada kita.Jika ini yang terjadi, maka selepas sahaja peristiwa ini, isteri kita tidaklagi percaya kepada kita dan amat payahlah untuk kita berkomunikasi secara berkesan dengannya. Sebab hati dan pemikirannya telah negatif terhadap keikhlasan kita. Isteri kita akan sentiasa ingat peristiwa ini sampai bila-bila dan akan dikeluarkannya apabila perlu untuk mematikan hujah-hujah kita semasa kita berhujah nanti.

Oleh itu, sentiasalah ingatkan diri kita akan pesanan Allah SWT untuk menundukkan pandangan mata agar bukan sahaja tidak melakukan zina mata tetapi tidak meremukkan kepercayaan isteri kepada kita. Kalau terpandang pertama, tak apa, tetapi cepat-cepatlah beristighfar… dan usahakan jangan diulangi pada kali kedua walaupun tiada isteri di sisi kita. Allah Maha Melihat.

Selamat Mencuba.

ISTERI SELALU NAK IKUT

Kita bergegas-gegas nak ke kedai beli barang keperluan yang dipesanoleh isteri kita tadi sedangkan pada waktu yang sama kita ada temu janji dengan rakan sepersatuan / sejamaah. Disebabkan isteri kita tak boleh beli sendiri barang keperluan itu maka kita pun setuju membelinya. Tapi sedang kita dah bersiap nak keluar ke pintu, isteri kita pun dengan lembut daribelakang bersuara, “Abang, nak ikut”. Kita tengok pakaiannya masih lagi pakaian nak masuk tidur kemudian kita pun tengok jam di tangan untuk memberitahu padanya yang kita dah tak ada masa. Ada hal penting selepas ini.

Ada dikalangan kita yang mula naik berang,”Tak payahlah, Abang nak cepat ni”.Dengan melangkah laju ke kereta meluncur keluar ke tempat yang dituju.Maka merajuklah si isteri yang mula-mula nak bermanja tadi. Bagi di kalangan kita yang lembut sedikit, akan berkata, “Siap cepat, Abang dah lambat ni”.Maka si isteri tadi pun bergegaslah dia ke dalam bilik tidur untuk mengambil pakaian dan tudungnya (Boleh dalam 5 minit). Bila anak yang kecil tu nampak,semua pula nak ikut (Boleh dalam 5 minit lagi).. Kita pun dah 10 kali tengok jam ditangan. Mana-mana dikalangan kita yang cepat hot, akan mula meninggi suara dan terus ke kereta dan menghidupkan enjin. Mana yang keras dari ini akan memicit hon dengan air muka mula naik macam cuka.

Bila si isteri masuk duduk disebelah, dia pula naik kecut sebab muka kita dah masam mencuka. Ada dikalangan kita yang membebel-bebel marah sebab lambat. Akhirnya, harapan siisteri menagih belaian kemanjaan dari suami yang dicintainya itu, punah beterbangan bersama-sama habuk jalanan digilis tayar kereta kita yang melaju itu.

Mengapa boleh terjadi demikian? Kita suami-suami ni memang manusia yangsentiasa sibuk. Apabila diminta oleh isteri membuat perkara-perkara “remeh”seperti membeli barang dapur, yang sangkaan kita perkara itu dia pun boleh buat, maka kita pun naik runsing. Mulalah datang persoalan di hati kita,mengapalah isteri kita ni terlalu “bergantung” pada kita.Bertambah runsing lagi, bila “start” saja kereta, dia pun nak ikut.

Tapi kalau kita lihat pula dari perspektif mereka, inilah peluang nak bermanja dengan kita. Terutama sekali jika isteri kita yang full-time-house-wife.Yang paling diminati ialah duduk di kerusi sebelah pemandu. Pandangan masyarakat kita, duduk di sebelah dalam satu kereta adalah satu pengiktirafan sosial menunjukkan yang kedua insan itu sedang bercinta. Sedang dalam ayunan kasih.

Ada juga budaya dikalangan kita yang menyuruh isterinya duduk dibelakang sebelah kiri pemandu. Mungkin dengan alasan agar senang dia menjaga anak dan lebih selamat. Tetapi pernah tak kita tanya isteri kita, kerusi mana pilihannya. Kebanyakan mereka akan memilih, “Kerusi disebelah pemandu tu.”

Kadang-kadang isteri kita tu sanggup berebut dengan anaknya duduk dikerusi itu. Bukan apa, status kerusi tu disisi masyarakat adalah tinggi.Oleh itu, ajaklah dia selalu naik kereta dan kalau dia nak ikut, bawalah.Dia pun faham tugas kita. Dia tak akan kacau kita jika kita betul-betul sibuk.

Selain dari itu, banyak kelebihan isteri duduk disebelah kita semasa kita memandu, sebab, bila kita nak makan kacang, dialah yang akan membuang kulitnya dan menyuap nanti. Masa inilah pula peluang kita bermanja dengannya.

Selamat mencuba dan sertailah dengan doa menaiki kenderaan setiap kalikita menghidupkan enjin kereta kita.

ISTERI MODIFYLIVING ROOM

Sekali sekala kita balik ke rumah dari pejabat, dengan sifat kita yang sentiasa sibuk ini, masuk ke rumah dan lihat ada perubahan pada susunan kerusi, tv, rak buku dan gubahan bunga yang nampak tersusun cantik. Kita senyum sedikit dan terus masuk ke bilik tidur untuk menanggalkan pakaian,mandi, solat dan terus ke dapur minum petang. Masa minum petang itu, isteri kita duduk berhadapan melayani kita. Dia seolah-olah menantikan sesuatu dari kita. Apabila selesai minum kita pun terus ke hadapan dan duduk diatas sofa susunan baru itu. Kedudukan baru sofa itu menghala ke TV danTV pula menghadap ke tingkap. Apabila kita switch-on TV, maka jelas cahaya dari tingkap melantun di atas kaca TV. Ini mengganggu pandangan kita terhadap gambar dalam TV itu. Maka kita pun terus komen, yang tv tu tak sesuai kedudukannya dan diminta pindah semula ke tempat asalnya. Bila isteri kita dengar sahaja komen dari kita, dia terus bangun meninggalkan kita tanpa sepatah kata. Mana-mana isteri yang “daring” sikit tu, akan berkata sambil bangun, “Abang sendirilah buat”. Kita pun terpinga-pinga. Apa salah kita?

Cakap sikit dah merajuk! Tak fahamlah depa ni!. Maka, dari keadaan yang sepatutnya riang gembira suami-isteri menikmati kebahagian “rumah itu syurgaku” telah bertukar menjadi “rumah itu kembali menjadi cuka ku”.

Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa ini dari “dalam kasut” isteri kita.

Semasa kita di pejabat, isteri kita bersendirian duduk di living roomitu, selepas letih membasuh baju dan memasak (kekadang belum masak lagi),memerah otak bagaimana nak menyusun semula suasana living room itu agar nampak lebih professional. Sebab dia tahu abangnya itu seorang yang professional.

Bersendirianlah dia mengangkat, mengubah kerusi, meja, rak-rak dan sebagainya. Berbagai-bagai kedudukan dibuat agar tv itu sesuai tempatnya. Dan memangdia sedar kedudukan tv yang terakhir itu akan menyebabkan “glaring” dari cahaya tingkap, tapi itulah yang terbaik untuknya.

Kadang-kadang dia berlakon sekejap menjadi suaminya, dengan beraksi buka pintu dan masuk ke living room kemudian dia akan “terkejut” kerana cantiknya susunan itu. Dia pun puas sendirian. Lepas itu dia ke dapur pula untuk memasak untuk kita dan anak-anak kita.

Bila terdengar sahaja bunyi kereta kita masuk ke halaman rumah, hatinya berdebar-debar menantikan kata-kata indah dari suaminya laksana menunggu juru acara majlis Oscar Award mengumumkan pemenang “Pelakon Terbaik”.Bila kita masuk sahaja ke dalam rumah, hatinya bertambah berdebar dan terpantul ukiran senyum tanpa darah di bibirnya. Tapi alangkah sedih di hatinya bila dilihatnya kita tidak perasan akan perubahan di living room dan berlalu laksana keretapi ekspres melintasi stesen keretapi Padang Rengas. Dia masih menaruh harapan pujian akan juga diperolehinya apabila berhadapan bersama suaminya meminum petang itu. Hampa juga dia, kerana tajuk perbincangan kita hanya tertumpu kepada kerja kita di pejabat yang sungguh mencabar kesabaran kita tadi. Bertambah kecewa dia apabila kita komen kedudukantv tadi yang tidak sesuai. Maka terus melentinglah dia. Menyampah pada suami yang dia amat sayangi ini. Benci dalam sayang.Suami tidak menghargai usaha murni dia pada hari itu.

Oleh itu, para suami yang dimuliakan, pandang-pandanglah dan dengar-dengarlah sekitaran dan dalam rumah sebaik sahaja kita sampai ke rumah. Terutamaisterinya seorang guru maka berhati-hatilah pada hari Sabtu atau isteri yang bercuti sendirian, maka berhati-hatilah jika balik ke rumah. Yanglebih parah sekali ialah isterinya yang full-time house wife, maka anda perlu berhati-hati setiap kali balik ke rumah atau boleh ingat hari-hari istemewa anda dan dia. Bila nampak susunan baru atau lebih bersih rumah pada hari itu, maka janganlah kedekut untuk mengatakan, “Wow! is this my house?.. siapa interior designernya ni?. Anda akan lihat kembang kincup batang hidung isteri kita itu. Jika kita dapati sesuatu susunan yang tidak sesuai pada pandangan anda, tahan dulu komen itu, biarkan dia sendiri yang menceritakan kelemahan rekaciptanya itu. Memang secara tobiinya, apabila kita puji susunan barunya itu, dia akan terus menyatakan kelemahan susunan itu, seperti, “Tadi Yah dah banyak kali cari tempat TV tu yangsesuai, tapi tingkap tu juga yang kacau, cahaya dia kacaulah. Nak letak di korner tu agak tak sesuai sebab plug tu nampak keluar, hodoh pandangan.Jadi Yah akhirnya buh kat situ”. Untuk mengembirakan hatinya lagikita boleh tambah, “Nanti abang belikan langsir tebal warna merah yangsesuai dengan karpet kita ni ya.” (Tapi check dulu poket tu, jangan sebarangankeluar kata-kata).

Saya yakin isteri kita akan sungguh gembira mendapat pujian dan terasa dirinya dihargai dan akan sentiasa looking forward menunggu kita balik dari pejabat. Kalau kita boleh memuji staf bawahan kita di pejabat yang proaktif membersih ruang pejabat kita, maka mengapa tidak kepada isterikesayangan kita sendiri. Barulah kita dapat belaian kasih mesra dari isteri kita yang tercinta itu. Puji-pujilah, jadikanlah ia sebagai budaya kita.

Selamat mencuba.

LUPA JANJI

Satu petang yang cerah kebiruan langit di awan, kita pulang ke rumah dari pejabat dengan seribu satu rancangan untuk dilaksanakan sebaik-baik sahaja tiba di rumah. Tetapi dalam keseribuan rancangan itu, tiada satu pun kita senaraikan program bersama isteri dan anak-anak dan kalau adapun kita letakkan dibaris yang terbawah sekali dari segi keutamaannya. Maklumlah selain dari menjalankan amanah di pejabat, kita juga memikul amanah didalam masyarakat atau persatuan atau jamaah yang kita anggotai itu.

Tiba sahaja di rumah, kelihatan isteri kesayangan kita itu telah berpakaian agak baru. Anak-anak kita juga kelihatan kemas tersusun rapat sikatan rambut mereka. Dari segi tingkahlaku mereka, nampak-nampak sedang bersiap sedia hendak berjalan ke mana-mana. Tapi tak sound pun. “Ah! mungkin memang dah mandi awal petang tu”, sangkaan kita. Isteri kita masih meneruskan kerja-kerjanya menyediakan minuman petang untuk kita. Disebabkan kita ni jenis manusia yang kurang perasan atau memang tiada perasaan, maka kita biarkan dia memperagakan pakaian itu bersama-sama dengan anak-anak kita tanpa soal.

Selepas minum petang tanpa memberitahu isteri, kita terus keluar bersama-sama dengan fail urusan persatuan untuk ke rumah sahabat berbincang hal-halpenting mengenai persatuan kita.

Sebelum melangkah keluar pintu, barulah isteri kita datang dari belakang bersuara dengan lembut, “Abang, kan janji, kalau hari cerah tak hujan nak bawa anak-anak ke taman bunga”.

Kita tersentak teringatkan janji itu. Memang kita telah berjanji tetapi mungkin 2-3 minggu yang lalu. Dah lupa pun. Disebabkan kita telah berjanji secara serius dengan AJK Persatuan kita tadi, maka kita pun patahkan ungkapan isteri kita tadi dengan menggunakan kuasa veto kita, “Abang ada hal pentinglah petang ni, lain kali lah ya!”.

Bila terdengar aje jawapan dari kita tu, isteri kita dengan wajah yang mula nak nampak kecewa menghembuskan nafasnya melalui hidungnya terus mengkritik,”Itulah bang, asyik persatuan persatuan persatuan je, lain kali jangan berjanji dengan budak-budak tu”.

Kalau kita jenis yang cepat sedar akan kesilapan, kita terus mengaku kesilapan dengan merendahkan suara sedikit untuk memujuknya, “Oh ya Abang lupalah, boleh tak kita pergi besok. Besok abang janji betui-betui,”Bagi isteri yang senang dipujuk, maka selesailah masalah. Tapi awas, peristiwa mungkir janji ini akan menjadi bahan yang kukuh untuk dia serang kita lagi jika kita terlupa lagi.

Bagi kita jenis yang kuat egonya akan mula nak menegakkan benang basahkita dengan mengatakan, “Alahai, you pergilah sendiri bawa budak-budak tu, I ada meeting penting ni”. Bagi isteri yang dah mengagak akan jawapanyang akan diterimanya ini, akan bingkas berjalan laju terus ke dalam biliknya menutup pintu bilik dengan sekuat tenaganya agar reda sedikit geram panas yang meluap dalam dadanya itu. “GEDEGUMMM!”.

Kita pun terpinga-pinga. Nak terus ke tempat mesyuarat, hati dah tidak tenteram. Nak bawa anak-anak ke taman, ibu mereka dah merajuk di dalambilik. Pening pening kepala.

Mengapa boleh terjadi demikian?

Kesemuanya ini berpunca dari:

1. Kita tidak menghiraukan atau tidak peka kepada mesej yang hendakdisampaikan kepada kita oleh isteri melalui bahasa badannya.

2. Kita suami mudah lupa akan janji-janji “remeh” dengan anak-anak danisteri kita. Remeh ini bermaksud tidak menjadikan keutamaan pada kehidupan kita tetapi ia adalah besar dan penting bagi isteri kita.

Sepatutnya apabila kita nampak sahaja isteri berpakaian lebih sikitdari biasa, ini menunjukkan dia sedang berkomunikasi dengan kita sesuatu mesej yang memerlukan kita bertanya kepadanya. Itu yang dia pinta sebaik saja kita sampai ke rumah tadi seperti, “Hai lawa ni, nak ke mana sayang?”.

Dia mungkin menjawab, “Tadi budak-budak tu bising sangat nak tengok burung dan rama-rama di taman bunga tu, dulu depa tak dapat pergi sebab hari hujan, jadi Mah pujuk depa tunggu abah balik, sebab hari ini tak hujan.”

Kemungkinan besar, isteri kita tadi telah bertegang leher memujuk anak-anak yang tak sabar-sabar nak ke taman bunga, sebab kita dah berjanji akan pergi jika hari tak hujan.

Kalau kita bijak, kita sedar bahawa kita sedang menghadapi konflik dengan kehendak rakan-rakan kita dengan kehendak anak-anak dan isteri. Kedua-duanya kita telah berjanji. Kita sedar kita telah terlupa akan janji dengan anak-anaktu. Maka amat baik jika kita ajak berbincang dengan isteri dan anak-anak.Peringkat awal begini memang masing-masing masih cool. Mudah berbincang.

Jangan tunggu hingga kita dah nak start kereta dan isteri kita tercegat kat pintu bersama-sama dengan anak-anak yang juga bercekak pinggang meninggikan suara, baru kita nak ajak berbincang. Ini dah terlambat.

Bagi suami yang paling bijak, dia akan memikirkan bagaimana dapat memenuhi kehendak kedua-duanya sekali. Mungkin memindahkan tempat mesyuarat persatuan ke taman bunga dan pada waktu yang sama melepaskan anak-anak bersama ibumereka menikmati keindahan taman itu. Atau macam-macam lagi asalkan diselesai secara kolaborasi.

Asas kepada permasalahan ini ialah kita perlu memahami mesejnya melalui komunikasi bahasa badan isteri kita. Dan pastikan kita ingat janji-janjikita walaupun sekecil mana dari pandangan kita, walhal, ianya besar dariperspektif isteri dan anak-anak kita.

Selamat berhati-hati dalam merenung dan berjanji. Sebab orang-orang yang memungkiri janji adalah orang-orang yang memiliki sifat-sifat orang munafiq. Tetapi jika anda ditemani oleh isteri yang solehah yang mengerti apa itu pengorbanan dan perjuangan, maka kemungkinan besar kesalahan andaini akan diampuninya dan diredhainya perjalanan anda ke tempat mesyuarat itu.

Wassalam.

SILA GUNABAHASA “SAYA”

Waktu hujung-hujung minggu, biasanya kita yang sibuk dengan kerja-kerjadi pejabat tu, amatlah teringin untuk berehat dengan erti kata rehat yang sebenar-benarnya. Seperti relax membaca akhbar, majalah-majalah dan bersantai di kerusi empuk tu bermandikan cahaya sinaran TV yang akan dibuka dari 7.00 pagi sampailah ke 11.00 malamnya. Kalau boleh tak mahu langsung membuatkerja-kerja yang memenatkan sama ada otak maupun otot-otot ni. Jadi dengan niat yang telah kita lafazkan di dalam hati tu sejak awal-awal pagi lagi,maka segala otot-otot kita pun turut menerima arahan otak tu dan terusmengendurkan dirinya dan ingin saja berehat bersama-sama dengan anggota badan kita yang lain. Maka tenggelamlah kita di dalam empukan sofa “malas”kita tu hingga ke waktu yang ditentukan oleh kita sendiri.

Anak-anak yang kecil-kecil yang masih mahu bermanja lagi dengan kita akan mengambil kesempatan ini untuk menguasai kita dengan memanjat di belakang dan sampai naik ke atas kepala kita laksana “King Kong” menguasai Tower tertinggi di New York tu. Kita relakan anak-anak itu berking kong ke atas kita kerana inilah sahaja masa untuk kita bermesra dengan mereka. Malah,memang pada hujung minggu inilah anak-anak kita itu menantikan-nantikan waktu ayah mereka duduk berehat di atas sofa kegemaran kita tu. Mereka merasakan inilah peluang mereka untuk mengetuk, mencekik, memanjat dan malah mengencingkan air kecil mereka ke atas riba kita. Maka seronoklah mereka dan kita. Kita biarkan mereka berbuat apa saja ke atas kita asalkan mereka tidak mengarah atau menyuruh kita buat kerja-kerja yang memerah otot-otot kita.

Lain pula dengan isteri kita. Peluang hujung minggu ni lah nak suruh abangnya tinggikan sikit gambar permandangan yang baru dibeli, sebab rendah sangat nanti orang tak nampak. Sapu sawang pada siling yang tinggi tu sebab nampak huduh macam rumah tak bertuan. Gosok sikit lantai mosaik di bilik air tu sebab nampak hitam berlumut, nanti malu kalau orang datang nak gunabilik air tu. Nak ubah katil “king size” tu ke sebelah kanan bilik, sebab dah jemu dengan kedudukan yang sedia ada ni dan macam-macam lagi agendanya yang sentiasa kreatif dan inovatif itu.

Maka apabila dia lihat sahaja kita sedang terbaring menghadap TV atausedang membaca akhbar atau majalah tu selepas menjamah sarapan pagi, dia akan berkata,
“Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa abang tak cuci lagi,nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!. Atau “Abang, gambar tu abang pasang rendahlah bang, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!” Atau mana-mana isteri yang berani sikit tu atau yang rasa ada kuasa sikit tu akan berkata,”Abang ni sama aje macam budak-budak tu, tiap hari minggu mengadap TV tak habis-habis, tu hah, sawang dah naik hitam kat siling atas kepala awak tu, tolonglah Yah, Yah tak sampai nak cuci tu, tinggi sangat”.

Maka kita pun rasa tergugat dengan serangan-serangan pagi dari isteri kita tu. Sebab memang kita tidak bersedia untuk membuat apa-apa malah apalagi untuk menangkis serangan tersebut. Jika difikirkan alasan isteri itu pun ada benarnya, tetapi hati kita tetap tidak setuju dengannya. Mulalah kitamencari alasan-alasan yang munasabah untuk menangkis serangan isteri tadiatau mencari “bom tangan” yang dapat mengalahkannya secepat mungkin agar keselamatan “awam kita” terjamin untuk pagi itu. Jawapan kita kadang-kadang begini,

” Alahai, nanti abang buatlah” “Abang letihlah, panggil tukang gambarlah untuk repair, nanti abang bayar”. “Takkan tak boleh sampai, ambil buluh,sambunglah dengan batang sapu sawang tu, kalau hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”.

Harapan kita agar isteri akan puas dengan jawapan kita. Tetapi sebaliknya,serangannya bertambah bertalu-talu menggunakan meriam penangkis kapal terbang pula. Hujahnya bertambah logik berserta dengan sejarah-sejarah silam yang kita pernah berjanji tetapi tidak kita laksanakan. Akhirnya niat kita untuk berehat telah bertukar menjadi gelanggang berentap memenangkan objektif masing-masing di pagi hujung minggu.

Mengapa boleh terjadi demikian?

Kita dan isteri kita banyak menggunakan bahasa “awak” dari bahasa “saya”.Ini yang menyebabkan kita seolah-olah serang menyerang semasa kita berkomunikasi.Jika kita dan isteri kita menggunakan bahasa “saya”, pasti komunikasinya itu akan boleh diterima dengan baik oleh kita dan dia.

Contoh:

Bahasa “awak” yang dia gunakan tadi: “Lantai di bilik air tu kotor lahbang, mengapa abang tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulahkita bang!.

Bahasa “saya” yang sepatut digunakannya:

“Yah nampak lantai bilik air tu tak berapa cantiklah, Yah sukalah kalau boleh dicuci sikit. Nanti kalau orang datang, hati Yah seronok kalau orang tu pakai bilik yang bersih.”

Isteri ini langsung tidak menggunakan “abang” tetapi lebih membahasakan dirinya dalam saranannya ini. Bukankah ianya lebih lembut dan tidak menyerang suaminya. Tentu sekali suaminya boleh meneka kenyataannya ini.

Satu lagi contoh bahasa “awak”:

“Abang, gambar tu abang pasang rendahlah bang, nanti tak nampaklah,tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!”

Bahasa “saya” yang sepatut digunakan:

“Yah sukalah kalau gambar tu dinaikkan sikit, baru nampak serinya, yatak bang?”

Jadi, jika suami-suami yang saya hormati ini telah memahami pendekatanbahasa “saya” ini, maka sampaikanlah kepada isteri saudara dan saudara juga hendaklah mengamalkannya. Yakinlah, kita akan dapat menikmati kerehatan yang sebenarnya bukan hanya dihujung minggu malah setiap masa jika kita mengamalkan bahasa “saya” ini.

Selamat mencuba.

copy-of-i-love-you-much-abstract-01

 

 
%d bloggers like this: