Airmien

sesuatu tentang kehidupan

Doa Nabi Sulaiman AS November 11, 2021

Filed under: Relationship — airmien @ 9:21 pm
Tags: , , , , , , ,

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكاً لاَ يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Rabbi ighfirlii wahablii mulkan laa yanbaghii li ahadin min ba’dii innaka antal wahhab..

Ertinya: “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi.”

 

Perceraian dan Mahkamah September 30, 2018

Filed under: Relationship — airmien @ 9:03 pm
Tags: , , , , ,

DENGAN ILMU, BANYAK PERKARA YANG KITA TAK PERLU TAKUT.

Kelihatan seorang wanita berjalan mundar-mandir di suatu sudut terpencil dalam bangunan mahkamah. Dari bahasa badannya, terjemahan gelisah yang terbungkam amat jelas sekali.

Duduk tak kena. Berdiri tak kena. Di tangannya ada kertas yang sedang dipegang erat.

Memberanikan diri untuk mendekati dan bertanya andai ada bantuan yang boleh dihulur untuk melerai perasaan yang kusut dan serabut.

“Assalamualaikum Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

Dengan perlahan, dia mengangkat mukanya. Raut wajahnya ayu dan lembut, namun kelihatan baru sahaja dilanda banjir air mata. Bengkak matanya. Jelas kelihatan satu wajah yang sudah cukup penat, terseksa dan menderita dengan kehidupan.

“Bekas suami saya cakap saya kena masuk penjara. Dia nak semua anak saya. Saya takde duit. Saya tak sanggup hidup dah. Polis akan tangkap saya. Saya akan masuk penjara.”

Sekali lagi ribut taufan dan banjir melanda kali ke entah berapa.

Sempat mencuri pandang kertas di tangannya. Dokumen Saman dan Pernyataan Tuntutan.

“Puan hadir ke mahkamah hari ini untuk apa?”

“Suami saya bagi ni (Saman dan Pernyataan Tuntutan). Dia cakap lepas ni saya kena masuk penjara sebab lari dan sorokkan anak-anak. Suami suruh tunggu di rumah dan jangan keluar ke mana-mana. Polis akan datang untuk tangkap saya.”

Puan-puan sekalian, sekiranya puan-puan berhadapan dengan ayat begini, ketahuilah, polis takkan tangkap orang yang tak bersalah. Polis bukan sewenang-wenangnya nak tangkap orang. Mesti kena ada sebab untuk polis menangkap mana-mana individu.

Polis memang selalu menjadi modal fitnah dalam masyarakat kita oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Guna nama polis orang memang akan takut.

Sistem perundangan yang difitnah sebagai agenda Yahudi, Freemason dan Illuminati ini memberikan peluang untuk kedua-dua belah pihak untuk mengemukakan hujah masing-masing.

Kaedahnya begini:

1. Saman dan Pernyataan Tuntutan (Plaintif)
2. Pembelaan dan Tuntutan Balas (Defendan)
3. Jawapan Kepada Pembelaan (Plaintif)

Seperti kes puan tadi, tindakan baru sahaja bermula. Pihak bekas suami baru sahaja memfailkan tuntutan hadhanah ke atas anak-anak. Kini giliran untuk puan tadi membalas dengan pembelaan.

Hakim perlu menimbang dari kedua-dua pihak.

Ketakutan yang menghantui puan tadi adalah hasil kejayaan momokan dusta oleh pihak bekas suami yang tak bertanggungjawab. Mengambil kesempatan atas kenaifan dan kejahilan bekas isteri. Sengaja menakut-nakutkan. Mengugut dengan perkataan polis, penjara dan sebagainya. Dan apa yang menyedihkan, ramai wanita yang terpedaya dengan tipu daya ini.

Ada juga pihak suami atau bekas suami yang mengugut untuk tidak membuat laporan polis berkenaan keganasan rumahtangga, hantar orang mengganggu, memukul, melakukan kekerasan, menculik anak dan sebagainya. Kalau buat laporan polis nanti kena tangkap.

Kenapa polis nak tangkap orang yang buat laporan? Cuba fikir logik puan-puan sekalian.

Puan-puan datang kepada pihak polis untuk melaporkan situasi puan-puan yang dizalimi, dipukul, dianiaya. Kenapa polis nak tangkap puan-puan?

Yang sebenarnya pihak yang mengugut tu yang takut ditangkap sebab kalau puan-puan buat laporan polis, polis akan buat siasatan terhadap laporan tersebut. Dan sekiranya terbukti laporan tersebut berlaku, memang pihak yang menzalimi, memukul, mencederakan, menculik dan sebagainya akan ditangkap.

Wahai wanita, ayuh bangkit. Perkayakan diri dengan ilmu. Usah mudah percaya. Hentikan kejahilan yang memudaratkan kehidupan ini. Sangat kasihan melihat wanita yang telah banyak berkorban untuk keluarga, berpenat lelah dalam memastikan rumahtangga dalam keadaan baik diperdaya dan diperkotak-katikkan sedemikian rupa.

Tolong sampaikan kepada wanita-wanita yang sedang dirundung malang, takut untuk membuat keputusan, buntu tentang tindakan yang patut diambil, rujuklah permasalahan pada saluran yang betul. Merdekakan diri dari kejahilan. Merdekakan jiwa dari kezaliman pihak yang tidak menghargai. Usah biarkan sisa kehidupan disia-siakan bertemankan air mata. Jangan mengalah sebelum berperang.

Silakan SHARE sebanyak-banyaknya, semoga sampai kepada wanita-wanita yang sedang tercari-cari sinar bahagia di hujung terowong kegelapan, ketakutan dan kebuntuan.

#CelikSyariah
#MemperkasaWanitaDenganIlmu
#HentikanKeganasanRumahtangga

 

Nafkah Keluarga Sebagai Sedekah Disember 17, 2017

Nafkah Keluarga Itu Sedekah


عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى أَهْلِهِ يَحْتَسِبُهَا فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ


Daripada Abu Mas’ud dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Apabila seseorang memberi nafkah untuk keluarganya dengan niat (ikhlas) mengharap pahala maka baginya adalah sedekah”. (HR Bukhari No: 53) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Setiap usaha dan pekerjaan seseorang untuk mencari rezeki yang baik dan halal adalah suatu tuntutan.


2.  Seseorang yang bekerja untuk menyediakan nafkah dan keperluan bagi keluarganya dengan ikhlas akan mendapat pahala seumpama sedekah.


3.  Muslim yang bekerja untuk menyara keperluan ahli keluarganya adalah sedekah


4.  Orang yang penat bekerja untuk mencari nafkah orang di bawah tanggungnya akan mendapat keampunan. 


مَنْ اَمْسَى كَالًّا مِنْ عَمَلِ يَدَيْهِ اَمْسَى مَغْفُوْرًا لَهُ


“Barangsiapa yang di waktu petangnya merasa penat lantaran pekerjaan kedua tangannya (mencari nafkah) maka akan diampuni dosa baginya.” (HR. Thabrani)