Airmien

sesuatu tentang kehidupan

Kewajipan Seorang Isteri Terhadap Suaminya Ogos 4, 2023

Filed under: Relationship — airmien @ 8:08 am
Tags: , , , , , , , , , ,

Berkata Al Imam Adz
Dzahaby rahimahullah :

WAJIB ATAS PEREMPUAN :

  1. Senantiasa malu kepada suaminya
  2. Menundukkan pandangan di depan suami
  3. Mentaati perintahnya
  4. Diam ketika suaminya berbicara
  5. Berdiri ketika menyambut kedatangannya
  6. Menjauh dari semua perkara yang membuatnya marah
  7. Berdiri bersamanya ketika suaminya akan keluar rumah
  8. Menawarkan ( … ) dirinya ketika suaminya akan tidur
  9. Tidak mengkhianatinya – ditempat tidurnya, harta dan rumahnya – ketika ia tidak ada
  10. Memakai wewangian
  11. Senantiasa menjaga kebersihan mulutnya dengan siwak
  12. Senantiasa berhias ketika kehadirannya
  13. Meninggalkan ghibah
  14. Memuliakan keluarga serta kerabatnya
  15. Melihat sesuatu yang sedikit pada suami, sebagai sesuatu yg banyak

كتاب الكبائر (66/1 ) ]🔺

( Nasehat Islami)

 

Suami dan Isteri Orang Oktober 10, 2020

Filed under: Relationship — airmien @ 10:10 am
Tags: , , , , , , , , ,

Jangan Bercinta Dengan Isteri Atau Suami Orang

CINTA dan kasih sayang itu anugerah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka”. (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah s.w.t. menyebut tentang cinta iaitu keinginan: “Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini.”

Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri orang juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.

Faktor Pencetus Cinta Yang Salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita.

Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih ‘rahsia’ ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Hindari Cinta Salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

 

Melipat Pakaian Adalah Tugas Siapa? Januari 31, 2019

Filed under: Relationship — airmien @ 9:54 pm
Tags: , , , , , , , , , , ,

Sering kali kita terdengar perbualan tentang tugas melipat pakaian yang bertimbun di dalam bakul pakaian. Adakah ianya tugas suami atau tugas isteri semata-mata?

Sebenarnya ada pro dan kontra berkenaan perkara ini. Tugas berkenaan bukannya semata-mata terletak di atas tugas salah seorang di antara suami atau isteri. Ianya sebenarnya kerjasama di antara pasangan suami isteri di dalam keluarga.

Tidak seharusnya tugas remeh itu diperbesarkan sehingga orang lain masuk campur di dalam masalah suami isteri. Kiranya ada masuk campur dalam masalah tersebut, ianya akan jadi semakin bertambah masalah.

 

Isteri Yang Bangun Tengah Malam November 28, 2018

Filed under: Relationship — airmien @ 9:02 pm
Tags: , , , , , , ,

 

Isteri yang bangun tengah malam minta ampun pada Allah bagi pihak suami, kerana dia tahu suami dia buat jahat, dia tahu suami dia malas solat, dia tahu suami dia buat dosa. Maka di hari kematian dia, Allah muliakan jenazahnya. Dia senyum semasa kematiannya. Suami berubah kerana doa dan kasih isterinya.
 
 
 
Jadi para isteri, kesalahan suami itu didoakan pada Tuhan. Bukan diceritakan. Bukan diaibkan. Lagi teruk apabila menghina suami depan anak-anak dan kawan dia. Seburuk mana pun suami, dia sebab isteri itu di terima ke Syurga, atau dihumban dalam neraka!
 
 
Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Rasulullah ﷺ bersabda:
 
“Maukah ku beritahukan kepada kalian tentang isteri-isteri kalian yang termasuk penghuni Syurga? Iaitu perempuan yang mencintai suaminya, mempunyai banyak anak, dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Jika ia menyakiti atau disakiti, ia segera mendatangi suaminya dan memegang tangannya, lalu berkata: Demi Allah, aku tidak akan tidur sebelum engkau redha kepadaku.” (HR Al-Nasa’i)
 
Kredit : Ibnu Sobri
gambar daripada sini. 
 

Perceraian dan Mahkamah September 30, 2018

Filed under: Relationship — airmien @ 9:03 pm
Tags: , , , , ,

DENGAN ILMU, BANYAK PERKARA YANG KITA TAK PERLU TAKUT.

Kelihatan seorang wanita berjalan mundar-mandir di suatu sudut terpencil dalam bangunan mahkamah. Dari bahasa badannya, terjemahan gelisah yang terbungkam amat jelas sekali.

Duduk tak kena. Berdiri tak kena. Di tangannya ada kertas yang sedang dipegang erat.

Memberanikan diri untuk mendekati dan bertanya andai ada bantuan yang boleh dihulur untuk melerai perasaan yang kusut dan serabut.

“Assalamualaikum Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

Dengan perlahan, dia mengangkat mukanya. Raut wajahnya ayu dan lembut, namun kelihatan baru sahaja dilanda banjir air mata. Bengkak matanya. Jelas kelihatan satu wajah yang sudah cukup penat, terseksa dan menderita dengan kehidupan.

“Bekas suami saya cakap saya kena masuk penjara. Dia nak semua anak saya. Saya takde duit. Saya tak sanggup hidup dah. Polis akan tangkap saya. Saya akan masuk penjara.”

Sekali lagi ribut taufan dan banjir melanda kali ke entah berapa.

Sempat mencuri pandang kertas di tangannya. Dokumen Saman dan Pernyataan Tuntutan.

“Puan hadir ke mahkamah hari ini untuk apa?”

“Suami saya bagi ni (Saman dan Pernyataan Tuntutan). Dia cakap lepas ni saya kena masuk penjara sebab lari dan sorokkan anak-anak. Suami suruh tunggu di rumah dan jangan keluar ke mana-mana. Polis akan datang untuk tangkap saya.”

Puan-puan sekalian, sekiranya puan-puan berhadapan dengan ayat begini, ketahuilah, polis takkan tangkap orang yang tak bersalah. Polis bukan sewenang-wenangnya nak tangkap orang. Mesti kena ada sebab untuk polis menangkap mana-mana individu.

Polis memang selalu menjadi modal fitnah dalam masyarakat kita oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Guna nama polis orang memang akan takut.

Sistem perundangan yang difitnah sebagai agenda Yahudi, Freemason dan Illuminati ini memberikan peluang untuk kedua-dua belah pihak untuk mengemukakan hujah masing-masing.

Kaedahnya begini:

1. Saman dan Pernyataan Tuntutan (Plaintif)
2. Pembelaan dan Tuntutan Balas (Defendan)
3. Jawapan Kepada Pembelaan (Plaintif)

Seperti kes puan tadi, tindakan baru sahaja bermula. Pihak bekas suami baru sahaja memfailkan tuntutan hadhanah ke atas anak-anak. Kini giliran untuk puan tadi membalas dengan pembelaan.

Hakim perlu menimbang dari kedua-dua pihak.

Ketakutan yang menghantui puan tadi adalah hasil kejayaan momokan dusta oleh pihak bekas suami yang tak bertanggungjawab. Mengambil kesempatan atas kenaifan dan kejahilan bekas isteri. Sengaja menakut-nakutkan. Mengugut dengan perkataan polis, penjara dan sebagainya. Dan apa yang menyedihkan, ramai wanita yang terpedaya dengan tipu daya ini.

Ada juga pihak suami atau bekas suami yang mengugut untuk tidak membuat laporan polis berkenaan keganasan rumahtangga, hantar orang mengganggu, memukul, melakukan kekerasan, menculik anak dan sebagainya. Kalau buat laporan polis nanti kena tangkap.

Kenapa polis nak tangkap orang yang buat laporan? Cuba fikir logik puan-puan sekalian.

Puan-puan datang kepada pihak polis untuk melaporkan situasi puan-puan yang dizalimi, dipukul, dianiaya. Kenapa polis nak tangkap puan-puan?

Yang sebenarnya pihak yang mengugut tu yang takut ditangkap sebab kalau puan-puan buat laporan polis, polis akan buat siasatan terhadap laporan tersebut. Dan sekiranya terbukti laporan tersebut berlaku, memang pihak yang menzalimi, memukul, mencederakan, menculik dan sebagainya akan ditangkap.

Wahai wanita, ayuh bangkit. Perkayakan diri dengan ilmu. Usah mudah percaya. Hentikan kejahilan yang memudaratkan kehidupan ini. Sangat kasihan melihat wanita yang telah banyak berkorban untuk keluarga, berpenat lelah dalam memastikan rumahtangga dalam keadaan baik diperdaya dan diperkotak-katikkan sedemikian rupa.

Tolong sampaikan kepada wanita-wanita yang sedang dirundung malang, takut untuk membuat keputusan, buntu tentang tindakan yang patut diambil, rujuklah permasalahan pada saluran yang betul. Merdekakan diri dari kejahilan. Merdekakan jiwa dari kezaliman pihak yang tidak menghargai. Usah biarkan sisa kehidupan disia-siakan bertemankan air mata. Jangan mengalah sebelum berperang.

Silakan SHARE sebanyak-banyaknya, semoga sampai kepada wanita-wanita yang sedang tercari-cari sinar bahagia di hujung terowong kegelapan, ketakutan dan kebuntuan.

#CelikSyariah
#MemperkasaWanitaDenganIlmu
#HentikanKeganasanRumahtangga