Airmien

sesuatu tentang kehidupan

PANTUN KASIH November 13, 2009

Filed under: Relationship — airmien @ 9:23 pm
Tags:

1. Pakai cincin di jari manis,

Bawa saksi mangga dua,

Abang pimpin jangan nangis,

Sudah jodoh kita berdua.

 

2. Kain batik kepala dua,

Pakai mari sebelah kiri,

Sudah suka kita berdua,

Orang lain jangan peduli.

 

3. Sayang gulatik burung guladan,

Sayang tekukur terbang tinggi,

Sudah cantik sama padan,

Mari ukur siapa yang tinggi.

 

4. Sayang tekukur gulainya lemak,

Sayang selasih di bawa batang,

Sudah lumpur berjalan semak,

Kerana cik adik saya mendatang.

 

5. Ada satu si burung helang,

Pandai menyambar ikan duri,

Hidup dunia tak campur orang,

Mana tahu adat negeri.

 

6. Alif Ba Ta tiga surat,

Dapat hidup dalam perigi,

Gelap gelita sebelah barat,

Belum tahu apa nak jadi.

 

7. Kalau tuan bergelang kaki,

Biar saya bergelang tangan,

Kalau tuan sujud di kaki,

Biar saya genggam di tangan.

 

8. Orang Arab balik ke Arab,

Sampai Arab pakai jubah,

Jangan tuan berharap – harap,

Fikiran saya boleh berubah.

 

9. Kecil – kecil di kara – kara,

Lilit mari dipagar orang,

Kecil – kecil ibu bapa pelihara,

Sudah besar diambil orang.

 

10. Rumah kecil dipagar nenas,

Ular lidi mati tersangkut,

Bukan saya pandangkan emas,

Kerana budi hati tersangkut.

 

11. Cincang – cincang kepala lembu,

Mari masak asam pedas,

Macam mana saya tak rindu,

Orang di rumah hukum keras.

 

12. Cicak di sana cicak di sini,

Cicak sarang bergulung rotan,

Adik di sana saya di sini,

Macam burung sahut – sahutan.

 

13. Telur cicak di atas peti,

Budak Melayu menjual bunga,

Minta – minta tak mahu kasi,

Sudah lepas apa guna.

 

14. Sepuluh ikan cencaru,

Membiak ikan gelama,

Sepuluh ganti yang baru,

Mana sama orang yang lama.

 

15. Asam paya buah di hutan,

Limau purut batang berduri,

Tipu daya kerana mu tuan,

Tidak turut rosaklah hati.

 

16. Apa dijeruk dengan belimbing,

Gerenggang mudik ke muara,

Apa ditengok di balik dinding,

Tun Hassan Temenggong anak Bendahara.

 

17. Tun Teja anak Benggala,

Pandai membelah lada sulah,

Jikalau tuan kurang percaya,

Mari bersumpah kalam Allah.

 

18. Sana sini gigi menimang,

Hendak makan ikan di dalam telaga,

Lagi lemak telur berlinang,

Sisiknya lekat pada dada.

 

19. Dang Nila memangku puan,

Berembang buah pidada,

Adakah gila bagimu tuan,

Burung terbang dipipiskan lada.

 

20. Lokan melata di dalam perahu,

Belah balang bertanduan,

Bukankah kau tiada tahu,

Akulah hulubalang minta lawan.

 

21. Gajah lekir kuda beraksa,

Di mana akan kuhempaskan,

Sama lebur sama binasa,

Orang kaya di mana akan kutunangkan.

 

22. Kalau roboh Kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa saya serahkan.

 

23. Tun Fatimah wanita jelita,

Negerinya timbul Dondang Sayang,

Sudah tersua tepung pelita,

Dimakan lalu dibuang sayang.

 

24. Buah jering di atas para,

Diambil budak sambil berlari,

Sampai kering laut Melaka,

Barulah saya mungkirkan janji.

 

25. Makan sirih berpinang tidak,

Pinang berada di Bukit piatu,

Toleh ke kiri ke kanan tidak,

Baru kutahu badan piatu.

 

26. Inderagiri pasirnya lumat,

Kerang bercampur dengan lokan,

Bagai nabi kasihkan umat,

Begitu saya kasihkan tuan.

 

27. Dondang Sayang Tanjung Surat,

Sampai ke Johor lalu melarat,

Bukan disengaja bukan dibuat,

Di Lohmahfuz sudah tersurat.

 

28. Sorong papan tarik papan,

Buah keranji di atas peti,

Suruh makan engkau makan,

Suruh mengaji engkau tak tahu.

 

29. Rumah kecil tiang seribu,

Rumah besar tiang sebatang,

Masa kecil ditimang ibu,

Sudah besar ditimang gelombang.

 

30. Gesek biola bertali empat,

Dondang Sayang lagu Melayu,

Dari jauh ke mari dekat,

Campak pantun seorang satu.

 

31. Pukul rebana berbunyi tambur,

Orang menari di tengah halaman,

Tuan di sana rindu tak tidur,

Saya di sini rindu tak makan.

 

32. Sayang bangau bulunya putih,

Bersama dengan si burung undan,

Saya datang perahu upih,

Hendak menumpang permainan tuan.

 

33. Sayang Cik Sulung membawa perca,

Perca bernama sepotong kain,

Surat belum habis dibaca,

Hajat hati tumpang bermain.

 

34. Pucuk pauh delima batu,

Anak sembilang di tapak tangan,

Tuan jauh di negeri satu,

Di mata hilang di hati jangan.

 

35. Orang mengail di Kuala Daik,

Dapat seekor ikan Yu,

Untung saya masakan baik,

Laksana dendang di pokok layu.

 

36. Anak kumbang merayap – rayap,

Mari ditangkap anak Turki,

Hendak terbang tidak bersayap,

Hendak hinggap tidak berkaki.

 

37. Ikut resmi padi,

Jangan ikut resmi lalang,

Makin tunduk makin berisi,

Makin melata makin tunduk meladang.

 

38. Pukul gendang kulit biawak,

Sedikit tidak berdentum lagi,

Ke mana badan hendak kubawa,

Sedikit tidak beruntung lagi.

 

39. Dari Bentan ke Tanjung Jati,

Muatan rengas si Lancang Kuning,

Puas bulan mengejar matahari,

Ombak berhempas laut tak kering.

 

40. Sampan kelana tiang sebatang,

Dipukul ribut berkajang daun,

Apa guna dipagar bintang,

Tawarkah laut hujan setahun.

 

41. Anak kelawar mati tersangkut,

Lalu patah dahan beringin,

Berapa besar ombak di laut,

Bolehkah redah menyongsong angin.

 

42. Buah pinang buah belimbing,

Ketiga dengan buah mangga,

Sungguh senang beristeri sumbing,

Kalau marah ketawa juga.

 

43. Bermain ceki si nganak Cina,

Sama dengan mainnya dadu,

Gua di sini lu di sana,

Sama – sama menanggung rindu.

 

44. Sayang Cik Ali anak Cik Zainal,

Pandai menyanyi Dondang Sayang,

Lama sudah kita berkenal,

Belum cuba berkasih sayang.

 

45. Anak lembu di Tanjung Jati,

Cari makan di tengah harungan,

Sehari bertemu sehari kumati,

Seribu syukur atas junjungan.

 

46. Sayang Cik Intan tanam selasih,

Selasih datang dari Seberang,

Kenapa tuan tak mahu berkasih,

Adakah orang akan melarang.

 

47. Tarik perahu di air surut,

Orang belayar ke tanah seberang,

Bukan saya tak mahu menurut,

Takut cik puan maklumnya puan.

 

48. Buat gereja di atas bukit,

Pasang rabung kayu meranti,

Ayuhai tuan cintaku sakit,

Tidak tertanggung rasa di hati.

 

49. Patah dahan kayu meranti,

Panjat mari si anak kera,

Kalau tak rasa di hati,

Mari berjumpa dengan segera.

 

50. Orang Melayu bersampan payang,

Sarat bermuat ikan Gelama,

Bukan tak mahu berkasih sayang,

Takut nanti tak kekal lama.

 

51. Layang – layang putus teraju,

Tersangkut mari di pokok delima,

Kalau dapat kasih setuju,

Tentu boleh kekalnya lama.

 

52. Sudah rapuh dahan keranji,

Turun ke paya ambil meranti,

Kalau sungguh kata dan janji,

Tidaklah saya mencari ganti.

 

53. Ikan pelata si ikan parang,

Ikan gelama putih sisiknya,

Tak pandai saya kata sebarang,

Belah dada tengok isinya.

 

54. Layang – layang terbang melayang,

Jatuh ke laut disambar jerung,

Siapa kata abang tak sayang,

Bagai bunga rasa nak kendong.

 

55. Ada satu anak helang,

Sehari – hari turun ke pantai,

Jika sehari tidak kupandang,

Bagai bunga layu di tangkai.

 

56. Bunga Melor di atas titi,

Mari dibungkus dengan kertas,

Dalam telur lagi kunanti,

Inikan pula sudah menetas.

 

57. Arak – arak kelapa puan,

Tidak puan kelapa bali,

Harap – harap kepada tuan,

Tidak tuan siapa lagi.

 

58. Anak beruk di kayu rendang,

Turun mandi di dalam paya,

Biar buruk mata memandang,

Tetapi cantik di mata saya.

 

59. Limau purut batang berduri,

Ada buah jarang – jarang,

Di dalam perut lagi kunanti,

Inikan pula sudah terbang.

 

60 .Lama sudah tidak ke ladang,

Padi sudah dililit kangkung,

Selama tuan tidak kupandang,

Putus hati pengarang jantung.

 

61. Sayang Cik Esah mengambil galah,

Buat mari sampiran kain,

Berani bersumpah kalam Allah,

Hatiku tidak pada yang lain.

 

62. Ada seekor burung merak,

Lehernya panjang suaranya serak,

Tuan umpama emas dan perak,

Hati yang mana boleh menolak.

 

63. Pulau tinggi terendak Cina,

Tampak dari Pasir Seribu,

Tuan pergi janganlah lama,

Tidak kuasa menanggung rindu.

 

64. Bunga selasih permainan budak,

Daun sehelai dimakan kuda,

Bercerai kasih bertalak tidak,

Seribu tahun bertemu juga.

 

65. Kuda hitam pelana kain,

Bunga seganda di dalam dulang,

Niatku tidak pada yang lain,

Hanya pada tuan seorang.

 

66. Tuai padi musimnya tiba,

Tangkainya lurut di rumah Cik Siti,

Kalau begini malang menimpa,

Biar kuturut katanya hati.

 

67. Belayar sampai ke Tanjung Jati,

Hendak mengambil buah redan,

Jangan diikut kehendak hati,

Nescaya rosak anggota badan.

 

68. Dari Gerisik ke Surabaya,

Singgah mengambil ubi keladi,

Sudah nasib malangnya saya,

Tidak boleh diubah lagi.

 

69. Kajang tuan kajang berlipat,

Kajang saya mengkuang layu,

Dagang tuan dagang bertempat,

Dagang saya terbuang selalu.

 

70. Kereta kuda pedati lembu,

Singgah sekejap di Pengkalan Rama,

Tuan sutera saya belacu,

Mana boleh ganding bersama.

 

71. Burung jelatik sarang kedidi,

Sarang tempua sarang berjuntai,

Sungguh cantik sutera diuji,

Belacu juga tahan dipakai.

 

72. Bunga dikarang tangkainya patah,

Dalam dulang jatuh kuntumnya,

Adat orang ringgit berjuta,

Kawan bercampur pilih darjatnya.

 

73. Buah bacang buah kuini,

Jatuh sebiji di pangkal mengkudu,

Kalau kutahu semacam ini,

Tidak kulahir di perut ibu.

 

74. Terbang tinggi si burung undan,

Pagi hari matahari segalah,

Sudah nasib permintaan badan,

Kuturut sahaja kehendak Allah.

 

love

 

Tinggalkan komen